KUALA LUMPUR 13 Mac – Pakatan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diramalkan tidak mampu bertahan lama.

Ismail Sualman
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Mohd. Fuad Mat Jali menyifatkan bahawa pakatan itu yang telah menandatangani deklarasi mendesak pengunduran Najib sebagai ‘tidak mantap’, walaupun dianggotai oleh pemain politik berpengalaman.
Jelas Mohd. Fuad, perkara itu kerana deklarasi yang dibuat oleh pakatan tersebut kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi ahli UMNO sendiri untuk menyingkirkan Najib.
“Dalam pakatan ini, terdapat pelbagai matlamat daripada pelbagai pihak, tetapi yang sama hanya satu iaitu menjatuhkan Perdana Menteri. Tetapi mereka berhadapan kesukaran kerana mahu menjatuhkan pemimpin itu sama ada melalui pilihan raya ataupun undi dalam kalangan ahli parti.
“Jelas sekali kebelakangan ini kita lihat ahli-ahli akar umbi UMNO menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, pilihan raya pula dalam tempoh kira-kira dua tahun lagi. Saya tidak fikir pakatan ini mampu terus bersama sehingga pilihan raya umum akan datang memandangkan ‘personaliti’ mereka berbeza, kemungkinan pakatan ini bakal terbubar dan lesu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.
“Saya percaya akan timbul konflik matlamat dalam kalangan pemimpin dalam pakatan berkenaan. Selain itu, kita juga harus ingat bahawa bukan semua suka kepada Dr. Mahathir dan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai hala tuju pakatan Dr. Mahathir-pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Mohd. Fuad menjelaskan bahawa DAP merupakan parti yang paling ‘beruntung’ daripada kerjasama tersebut.
“Dalam isu ini DAP ‘menang’, mereka paling gembira dan ketawa besar. Mereka hanya tunggu sahaja fenomena seperti ini berlaku dan DAP melihat kerjasama dengan Dr. Mahathir ini sebagai pencetus kepada kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN),” jelas beliau.
Bagi penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Ismail Sualman pula, kerjasama yang dibentuk itu adalah atas dasar peribadi dan bukannya kerana desakan daripada rakyat.
Katanya, kerjasama itu juga dikhuatiri boleh memberi impak negatif khususnya kepada aspek ketenteraman awam, sekali gus menimbulkan keraguan dalam kalangan pelabur luar untuk masuk ke negara ini.
“Selain itu, tindakan Dr. Mahathir bekerjasama dengan pembangkang bagi menjatuhkan Perdana Menteri mencerminkan ‘warna sebenar’ bekas pemimpin negara berkenaan. Selama ini, Dr. Mahathir banyak ‘bergaduh’ dengan DAP tetapi hari ini dengan reda bersama Penasihat parti itu, Lim Kit Siang untuk tujuan peribadi beliau,” ujarnya.( Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 7.46 am on March 14,2016.
No comments:
Post a Comment