KUALA LUMPUR 16 Mac - Pembangkang yang untung - Itulah rumusan ‘kejayaan’ bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad yang berpakat dengan pemimpin pembangkang termasuk Lim Kit Siang melancarkan deklarasi bertujuan menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak pada 4 Mac lalu.
Walaupun pada majlis itu Dr. Mahathir menegaskan bahawa kesemua yang hadir atas kapasiti individu tetapi pemimpin-pemimpin pembangkang tetap melihat ia sebagai ‘pucuk dicita ulam mendatang’.
Ia memandangkan beberapa pemimpinnya secara terbuka seolah-olah mendabik dada atas ‘kejayaan’ membawa Dr. Mahathir duduk semeja dengan mereka.
Dalam satu forum anjuran pakatan pembangkang, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menegaskan keuntungan politik yang akan diraih oleh pakatan itu berikutan kehadiran Dr. Mahathir dalam majlis deklarasi tersebut.
Berikut petikan penegasan beliau dalam klip video yang diviralkan;
“...Sebab itu apabila kita bagi ruang kepada Tun Mahathir supaya bersama-sama dengan kita kerana deklarasi itu, sebenarnya bukan kita pergi kepada Tun Mahathir, Tun Mahathir yang datang kepada pembangkang.
“Sebab itu daripada 58 orang yang tandatangan hari itu, saya lihat yang dengan UMNO Barisan Nasional sebelum ini tak sampai 10 (orang) selebihnya itu pembangkang. Sebab itu apabila mereka datang kepada kita... (kandungan) deklarasi (itu adalah) sesuatu yang telah kita sebut bertahun-tahun...skrip itu, skrip kita bukan kita baca skrip dia...dia baca skrip kita..maka kita ada peluang untuk menembusi dua hingga lima peratus pengundi atas agar Melayu yang sebelum ini tertutup terus daripada kita...”
Kenyataan itu membuktikan kehadiran Dr. Mahathir atas nama mahu menyelamatkan Malaysia hakikatnya hanya memberikan keuntungan kepada pembangkang dan tidak keterlaluan jika dikatakan mereka hanya berjaya memperalatkan beliau.
Sebelum itu pada 8 Mac lalu, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula seolah-olah ‘memperlekehkan’ kewibawaan Dr. Mahathir apabila menafikan pakatan pembangkang lemah sehingga mahu menumpang pengaruh bekas Perdana Menteri itu.
Sebaliknya, beliau menyatakan Dr. Mahathirlah yang sebenarnya memerlukan bantuan pihak pembangkang dalam usahanya untuk menjatuhkan Najib.
Tidak cukup dengan itu, pembangkang juga melalui Wan Azizah bagaikan ‘menangguk di air keruh’ apabila menjadikan deklarasi ‘Selamatkan Malaysia’ itu kepada deklarasi mahu membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Ia terbukti apabila Wan Azizah menegaskan: “Pengakuan Dr. Mahathir itu adalah penerimaan secara tidak langsung bahawa institusi kerajaan yang tidak bebas telah memangsakan Anwar yang dipenjarakan kerana menjadi ancaman politik utama kepada pentadbiran Perdana Menteri.
“Oleh yang demikian, pakatan pembangkang pada hari ini menetapkan bahawa agenda pembebasan Anwar menjadi agenda utama yang akan dibawa bersama-sama agenda reformasi yang lain dalam usaha menyelamatkan Malaysia.”
Berdasarkan fakta-fakta tersebut adalah jelas, pakatan pembangkang meraih keuntungan hasil tindakan Dr. Mahathir. Walau apapun hujah yang diberikan bagi ‘menghalalkan’ tindakan menganjurkan majlis deklarasi tersebut, apa yang pasti pembangkang mengambil kesempatan politik kerana ‘mana mungkin kucing menolak ikan di depan mata’(Utusan online).Posted by abnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 11.47 am on March 17,2016..
No comments:
Post a Comment