Penantian peminat untuk menyaksikan kedua-dua jaguh dunia itu bertemu tercapai selepas bekas pemain No. 1 dunia Chong Wei menyingkirkan Chou Tien Chen dari Taiwan 21-16, 21-18 dalam tempoh 49 minit hari ini.
Sebelum ini, peminat badminton menjangkakan kedua-dua pemain itu akan bertemu dalam Terbuka Malaysia, namun pemain ketiga dunia dari China, Lin Dan terkandas di suku akhir kepada Jan O Jorgensen dari Denmark, manakala Chong Wei meneruskan kemaraan sehingga muncul juara.
Dalam pada itu, jurulatih perseorangan negara Hendrawan menggesa Chong Wei agar lebih bersedia menerima tekanan kerana terpaksa mengharungi perlawanan separuh akhir itu di depan penyokong tuan rumah.
“Untuk jumpa Lin Dan esok, mungkin semua orang sudah tertunggu-tunggu perlawanan ini. Bagi Chong Wei, esok mungkin perlu lebih bersedia dari segi mental selain perlu banyak bersabar.
“Ini kerana Lin Dan sudah pasti akan mendapat sokongan lebih daripada penonton.
“Apa pun hasilnya esok, menang atau kalah, kita akan menilainya untuk persediaan mengharungi Sukan Olimpik (di Rio de Janeiro, Ogos ini),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Sehingga kini, rekod pertemuan masih lagi menyebelahi Lin Dan dengan 25 kemenangan, manakala Chong Wei yang menduduki ranking kedua dunia pula menang sepuluh kali.
Sementara itu, mengulas mengenai aksi menentang Tien Chen, Hendrawan berkata Chong Wei dapat beraksi dengan baik hari ini kerana persekitaran gelanggang yang lebih selesa berbanding semalam.
“Situasi gelanggang jauh berbeza. Terdapat angin kerana cuaca hari ini sedikit panas di sini, jadi penyaman udara dihidupkan.
“Maka dari situ, Chong Wei dan pihak lawan masing-masing bermain lebih ke arah menyerang. Berbeza dengan semalam, mereka bermain secara rali disebabkan bulu tangkis terlalu perlahan dan tiada angin (di dalam stadium),” katanya.(Utusan online).Posted by abnmuly //haji abu b akar ninggal.blogspot.com.at  1406 hrs on April 30,2016.