Lebih manis lagi, ini adalah kemenangan pertama dicatat oleh pasangan No. 12 dunia itu ke atas beregu China tersebut selepas tumpas dalam sembilan pertemuan mereka sebelum ini.
Selain kemenangan sensasi Peng Soon-Liu Ying, peminat badminton negara turut diceriakan dengan kejayaan Datuk Lee Chong Wei melangkah ke perlawanan akhir perseorangan lelaki, sekali gus menghampiri kejuaraan ke-11.
Chong Wei tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan jaguh Denmark, Jan O Jorgensen 21-7, 21-14 untuk menempah pertemuan dengan juara dunia yang juga pemain No. 1 dunia, Chen Long dari China.
Dalam aksi semalam, Peng Soon-Liu Ying yang turun ke ge­langgang dengan keyakinan tinggi dipaksa bertarung lebih sejam dan bangkit daripada ketinggalan di set pembukaan sebelum menundukkan pasangan kekasih, Zhan Nan-Yunlei 24-26, 21-15, 21-13.
Kejayaan itu menyaksikan mereka melangkah ke pentas final Terbuka Malaysia buat kali kedua selepas kali terakhir melakukannya, tiga tahun lalu.
Menanti mereka di final hari ini ialah beregu handalan Indonesia yang juga pasangan No. 2 dunia, Tontowi Ahmad -Liliyana Natsir.
Bekas beregu No. 1 dunia itu mara selepas menyingkirkan pasangan Denmark, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Peder­sen 21-18, 21-17.
“Agak sedih juga, selepas 10 kali bertemu baru kali ini kami berjaya menang tetapi sebagai atlet kami tidak pernah berputus asa dan sentiasa yakin kami ada peluang untuk menang.
“Pada mulanya saya tidak sangka mampu memenangi perlawanan ini selepas tewas di set pertama dan dipaksa berhempas pulas, namun kami berjaya bangkit dalam dua set berikutnya ” kata Peng Soon.
Bagi Liu Ying, kemenangan ke atas juara bertahan dari China itu memberi kepuasan kepadanya, tetapi pada masa sama dia tidak berani meletakkan sasaran tinggi untuk aksi hari ini.
“Saya rasa sangat teruja hari ini kerana sebelum ini kami tidak pernah menang satu set pun ke atas mereka (Zhang Nan-Zhao Yunlei) dan kejayaan ini juga didorong daripada hasil pertemuan kami dengan mereka sebelum ini.
“Saya tidak mahu fikir terlalu banyak tentang final tetapi saya mahu lakukan yang terbaik dan akan melakukan analisis terhadap lawan kami esok (hari ini),” katanya, yang tewas enam daripada tujuh pertemuan menentang Tontowi-Liliyana, termasuk kekalahan mudah 8-21, 13-21 dalam Kejohanan Dunia, tahun lalu". ( Utusan online).Posted by abnmulya /./haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 3.27 am on April 10,2016.