Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak nampak me­ngapa pengundi harus memberi sokongan kepada pembangkang yang dilihat masih bertelegah sesama sendiri.
“Mereka datang dan pergi, tidak dapat memberikan apa-apa janji kecuali hanya kata-kata kemarahan dan menanam kebencian yang kononnya mahu menjadi pembangkang yang kuat sebaliknya bersifat kacau daun di dalam beberapa kawasan DUN (Dewan Undangan Ne­geri) di Sarawak.
“Walaupun mereka tahu tidak boleh menang namun masih mahu memperlihatkan rasa keberadaan mereka di kawasan-kawasan ini (luar bandar) bagi tujuan jangka panjang.
“Saya lihat masyarakat luar bandar sendiri tahu bahawa mereka (pembangkang) tidak boleh berbuat apa-apa di sini kerana kerajaan me­lalui kementerian khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa membantu dan memastikan pembangunan masyarakat di sini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan mesra di Pasar Tamu Kapit dan sekitarnya hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Terdahulu, ribuan penduduk di sini hadir menyatakan soko­ngan mereka kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh, Pelagus dan Bukit Goram yang bertanding dalam PRN-11.
Ahmad Zahid turut mengiringi calon DUN Baleh, Tan Sri James Jemut Masing (BN-PRS) bersama penyokongnya dengan berarak sejauh 500 meter ke Dewan Suarah Kapit pada pukul 9.10 pagi ini.
Di kawasan sekitar Kapit, terdapat tiga tempat penamaan calon iaitu DUN Baleh di Dewan Suarah Kapit; Pelagus (Wilson Nyabong, BN-PRS) di Pejabat Majlis Daerah Kapit dan Bukit Goram (Jefferson Jamit, BN-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) di Kompleks Kerajaan Ne­geri.
Mengulas pertelagahan dalam kalangan parti pembangkang me­ngenai calon-calon mereka yang tidak berkesudahan, Ahmad Zahid memberitahu, masalah itu akan dilihat rakyat sebagai sesuatu yang harus ditolak dalam PRN-11 ini.
“Kalau soal dalaman mereka pun tidak dapat selesaikan, apa lagi untuk menyelesaikan masalah rakyat.
“Saya cukup yakin bahawa dalam keadaan sekarang, rakyat boleh membuat perbandingan antara pembangkang dengan lebih 53 pelaksanaan dan perubahan transformasi yang dilakukan Tok Nan (Tan Sri Adenan Satem) yang memperlihatkan komitmen beliau selama dua tahun pentadbirannya.
“Tentunya pertelagahan yang ada dalam pembangkang akan dilihat rakyat sebagai sesuatu yang harus ditolak dalam pilihan raya negeri ini pada pengundian 7 Mei nanti,” jelasnya.
Mengulas kemenangan tanpa bertanding BN di DUN Bukit Sari dan DUN Bukit Kota hari ini, beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai petanda positif.
“Ia memperlihatkan manifestasi kepada kebolehpercayaan rakyat kepada calon-calon ini,” ujarnya.( Utysn online).Posted  b y abnmulya //hsji sbu bsksrf ninggsal.blogspot.com at 2206 hrs on April 26,2016.