KUALA LUMPUR 8 April – Tuduhan dan polemik penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) perlu dihentikan serta-merta selepas jawapan diterima berdasarkan pembentangan laporan akhir pengauditan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) semalam.

Irmohizam Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Datuk Irmohizam Ibrahim (gambar) berkata, rumusan laporan itu jelas menunjukkan tidak wujud sebarang penyelewengan atau unsur jenayah dalam syarikat tersebut seperti digembar-gemburkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan oleh ahli Jawatankuasa PAC termasuk wakil dari pihak pembangkang adalah telus dan cukup teliti dengan memanggil saksi kompeten sebelum membuat sebarang rumusan.
“Selepas ini, segala prasangka serta tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri sebagai punca kelemahan syarikat 1MDB ini perlu dihapuskan, memandangkan kedudukan beliau hanya selaku Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat. Tidak ada sebarang unsur jenayah seperti yang diperkatakan.
“Kita harus sedar segala urusan mengenai perjalanan syarikat ditentukan oleh Lembaga Pengurusan. Rakyat juga tidak perlu bimbang dengan ketelusan laporan itu, semuanya telah dijalankan dengan penuh teliti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Naib Pengerusi PAC, Dr. Tan Seng Giaw berkata, tidak benar untuk mengaitkan Najib yang merupakan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat berkenaan sedangkan segala urusan 1MDB ditentukan oleh Lembaga Pengurusan.
Seng Giaw memberitahu, nama Najib hanya timbul semasa melihat kepada senarai Lembaga Penasihat 1MDB dan selain daripada itu tiada kaitan.
Hasil siasatan PAC ke atas 1MDB mendapati struktur pembiayaan modal dan prestasi kewangan syarikat strategik itu didapati ‘kurang memuaskan’, yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus.
Namun, PAC mendapati kerajaan telah mengambil langkah serta-merta untuk memperbaiki masalah aliran tunai syarikat yang mula timbul pada November 2014.
Tambah Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, saranan beberapa pihak yang menggesa untuk penubuhan suruhanjaya siasatan diraja sebenarnya bukan untuk kepentingan rakyat sebaliknya bagi meneruskan agenda tertentu selain membazirkan wang negara.
“Itu hanya usaha untuk terus memburukkan nama Najib walaupun bukti kukuh telah dipersembahkan melalui laporan PAC semalam, kumpulan ini hanya mahu menjatuhkan pemimpin negara dan bukan untuk mencari apa-apa kebenaran,” tegasnya.( Utusan online- Posted by nabnmulya //haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 12.23 noon on April 09,2016.
No comments:
Post a Comment