Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, ini adalah kerana perhimpunan Bersih 5 mengheret rakyat berhimpun untuk membenci kerajaan sekali gus memperlihatkan banyak insiden perpecahan rakyat dan pencabulan keharmonian negara.
Jelas beliau, Bersih 5 hanyalah medium untuk pembangkang berpolitik kerana secara zahirnya murni pada mata rakyat, namun hakikatnya meninggalkan kesan kotor kepada kesejahteraan negara.
“Himpunan ini perlu dibersih­kan agar kita tidak dikotorkan dengan sejarah hitam yang mungkin boleh mengancam keselamatan negara.
“Justeru, adalah amat tepat sekiranya kerajaan tidak membenarkan perhimpunan ini diadakan. Perlu disedari, berhimpun bukanlah adab kita yang mendukung Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Irmohizam menambah, perhimpunan Bersih 5 wajar dihentikan kerana berkemungkinan besar mengundang ancaman pengganas yang mensasarkan lokasi tumpuan ramai.
Tegasnya, tidak mustahil jika peluang seperti ini diambil oleh pengganas Daesh bagi menjalankan agenda jahat mereka.
Tambahan pula katanya, dalam siri-siri perhimpunan Bersih terdahulu jelas menunjukkan pe­nganjur gagal mengawal peserta dengan baik sehingga berlakunya insiden yang mengancam ke­selamatan awam, kerosakan harta benda dan kesesakan lalu lintas.
“Jika perhimpunan ini dibenarkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2011, maka kerajaan perlu pertimbangkan juga Akta Majlis Keselamatan Negara.
“Perjuangan utama rakyat adalah bersatu padu membangunkan negara secara harmoni, bukannya memecahbelahkan lagi perpaduan di antara kita dengan menanamkan rasa benci terhadap kerajaan yang sentiasa berusaha menyejahterakan rakyat,” katanya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1643 hrs on Oktober 20,2016.