Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan keluar parti membabitkan tiga ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan seorang ahli Parlimen itu juga membuktikan bahawa ‘perkahwinan mutaah’ politik adalah ikatan bersifat sementara.
Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) meminta rakyat menilai semula keupayaan parti pembangkang itu untuk menggantikan kerajaan BN memerintah negara ini.
“Saya dimaklumkan bahawa tiga ADUN dan seorang ahli Parlimen DAP mengumumkan keluar parti. Tindakan mereka ini merupakan manifestasi bahawa DAP sedang mengharungi masalah da­la­man dan krisis kepercayaan.
“Semua kita tahu bahawa DAP pernah bersekongkol dengan tokoh yang pernah menghentam DAP (Tun Dr. Mahathir Moha­mad) dan kita tahu bahawa persekongkolan melalui ‘perkahwinan mutaah’ politik hanya bersifat sementara. Permainan politik se­­per­ti ini harus difahami oleh se­mua rakyat,” katanya dalam sidang akhbar semasa menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Daerah Lundu di sini hari ini.
Dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini, empat wakil rakyat DAP iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; ADUN Duyong, Goh Leong San; ADUN Bachang, Lim Jack Wong dan ADUN Kesidang, Chin Choong Seong mengumumkan keputusan mereka keluar DAP kerana hilang kepercayaan terhadap kepe­mimpinan parti itu.
Menurut Tong Him yang mewakili tiga lagi wakil rakyat berke­naan, selain hilang keyakinan ter­­hadap kepemimpinan sedia ada, mereka juga kecewa dengan kepemimpinan DAP ketika ini yang didakwa sudah tersasar daripada matlamat perjuangan asalnya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, rakyat boleh membuat analisis secara peribadi terhadap kebolehpercayaan terhadap DAP apabila ada ahli Parlimen dan ADUN sendiri akhirnya keluar dan tidak menyokong pucuk pimpinan parti tersebut.
“Kita mahu rakyat menilai gerakan (cuba menjatuhkan BN) yang berlaku di luar sana dengan tidak berhajat untuk campur tangan dalam apa yang sedang terjadi membabitkan parti komponen pembangkang.
“Kita (BN) berharap sekali, rakyat menilai apa sedang berlaku dalam kalangan mereka dan bagaimana prestasi mereka sebagai wakil rakyat yang hanya pintar ‘berkokok’ tetapi tidak dapat memberi perkhidmatan berkesan kepada rakyat terutama pengundi mereka,” ujarnya.( Utusan online).Posted by abnmulya  /haji abu bakar ningal.blogspot.com.at 1.33 am on February 13,2017.