![]() |
Pendangan dari udara tapak pembinaan Projek Pembangunan Bersepadu Penapis Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang,Johor. |
09 Mei 2017 3:00 AM
Prospek pelaburan bernilai AS$7 bilion (RM30.34 bilion) menerusi kerjasama antara Saudi Aramco dengan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) di Pengerang, Johor amat penting kepada Arab Saudi untuk menerokai pasaran Asia Pasifik yang berkembang pesat.
![]() |
Khalid Al-Falih
|
Pengakuan itu dibuat oleh Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid Al-Falih, dengan menyifatkan Malaysia serta rantau ini adalah pasaran terpenting dunia setelah mempamerkan perkembangan ekonomi yang pesat sejak 30 tahun lalu.
“Petronas menepati ciri-ciri yang kami mahukan. Cara terbaik adalah dengan mengadakan kerjasama rapat dengan institusi yang benar-benar mengetahui selok-belok pasaran di rantau ini,” katanya dalam ucaptama khas sempena Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC ) Kali Ke-19 di sini hari ini.
Persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas,
Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin. Pelaburan syarikat minyak Arab Saudi itu di Malaysia disifatkan antara keputusan terbesar yang dicapai dalam lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia pada hujung Februari lalu.
Dalam pada itu, Khalid optimis industri minyak dan gas (O&G) akan kembali pulih setelah melalui fasa getir akibat ketidaktentuan harga minyak sejak 2014.
“Beberapa indikator menunjukkan pasaran minyak global telah mula pulih dan menuju ke arah keseimbangan semula. Kadar permintaan minyak global juga bakal meningkat disebabkan permintaan di pasaran utama seperti China dan India,” katanya.
Beliau juga berkata, disiplin dan komitmen yang masih ditunjukkan oleh ahli-ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk mengurangkan keluaran minyak masing-masing sejak hujung tahun lalu akan membantu harga komoditi itu kekal stabil.
“Malah, berdasarkan pertemuan saya dengan negara-negara yang terlibat dalam pengurangan ini, diyakini persetujuan bersama ini akan diteruskan lagi untuk separuh kedua tahun ini,” katanya.
(Utusan online) Posted by abnmulya // haji abu bakar ningal.blogspot.com. at 9.53am on Mei 09,2017.
(Utusan online) Posted by abnmulya // haji abu bakar ningal.blogspot.com. at 9.53am on Mei 09,2017.
No comments:
Post a Comment