![]() |
Mahathir Mohamad. |
KUALA LUMPUR 22 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim layak digelar pelakon terhebat dalam pentas politik tanah air kerana sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu memancing undi rakyat.
Presiden Parti India Malaysia (MUIP), Tan Sri S. Nallakaruppan berkata, kedua-dua pemimpin itu yang dahulunya bermusuhan tetapi kini ‘tidur sebantal’ semata-mata mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak akan melenyapkan ingatan rakyat terhadap sejarah antara mereka.
Menurutnya, rakyat pasti tidak lupa tuduhan Dr. Mahathir terhadap Anwar yang mendakwa bekas Ketua Pembangkang itu seorang peliwat yang tidak boleh menjadi Perdana Menteri, namun kini membuat pusingan U demi mencapai cita-cita memerintah negara. “Rakyat terutama dalam kalangan kaum India pastinya tidak akan termakan dengan drama yang sedang dilakonkan Pakatan Harapan diketuai DAP kerana mereka sedar pemimpin mana yang banyak menyumbang kepada masyarakat India.
“Datuk Seri Najib adalah pemimpin yang banyak menyumbang kepada masyarakat India. Najib menyokong penuh usaha untuk kehidupan masyarakat itu. Mereka tidak akan lupa jasa Najib dan tidak akan terpedaya dengan permainan politik pakatan pembangkang semata-mata mahu merampas Putrajaya tetapi tidak ada usaha untuk kebajikan rakyat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Nallakaruppan berkata, masyarakat India juga sedar bahawa pelbagai usaha telah dilakukan Perdana Menteri termasuk yang terbaharu, melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti itu di negara ini bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Katanya, pelan tindakan berkenaan diyakini akan membawa perubahan besar dalam kalangan masyarakat India dari segi pendidikan, pekerjaan dan sosioekonomi.
Beliau memberitahu, Najib turut berjanji bahawa kerajaan akan berusaha menyelesaikan masalah hak kewarganegaraan melibatkan segelintir kaum India yang lahir sebelum merdeka dan perkara itu akan diberi keutamaan memandangkan golongan berkenaan banyak berkorban untuk negara ini.
“Sejak kemerdekaan, kaum India di Malaysia telah banyak berjasa kepada negara dan mereka telah memainkan peranan besar untuk pembangunan negara ini.
“Dalam 60 tahun kemerdekaan, masyarakat India dianggap antara kaum minoriti yang miskin dan dipinggirkan di negara ini. Namun, sejak Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri, beliau lebih banyak berbakti kepada masyarakat India berbanding Perdana Menteri lain sebelumnya,” katanya.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji bakar ninggal.blogspot.com at 12.53 noon on JUly 23,2017.
No comments:
Post a Comment