Friday, March 7, 2014

Liwat : Anwar dihukum penjara 5 tahun

PUTRAJAYA 7 Mac- Datuk Seri Anwar Ibrahim dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan pada 2008. - (Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya .blogspot.com.at 1930 hrs on March 07,2014.

Thursday, March 6, 2014

11,000 askar pro-Rusia kawal laluan ke -Cremea .


SIMFEROPOL,Ukraine 6 Mac - Pasukan bersenjata pro-Rusia yang mempunyai kekuatan lebih 11,000 askar kini mengawal semua laluan ke Semenanjung Crimea, Ukraine dan mengepung semua pangkalan tentera yang masih belum menyerah diri.

Pemimpin baharu Crimea, Sergei Aksyonov berkata, wilayah tersebut kini berada di bawah kawalan polis antirusuhan dan pasukan keselamatan selain disertai 11,000 askar.0

Beliau berkata, kerajaan pimpinannya kini sentiasa berhubungan dengan pegawai Rusia termasuk satu delegasi dari negara itu yang kini berada di wilayah autonomi tersebut.

Dalam pada itu, seorang utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihantar ke Crimea terpaksa meninggalkan wilayah tersebut selepas diancam lelaki bersenjata.

Kebimbangan terhadap keadaan di timur Ukraine itu meningkat selepas beratus-ratus penunjuk perasaan yang kebanyakannya melaungkan `Rusia, Rusia’’ menyerbu bangunan kerajaan di Donetsk, berdekatan sempadan Rusia, semalam.

Pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis turut berlaku awal hari ini di Donetsk ketika pasukan keselamatan itu cuba menyuraikan mereka yang berkumpul di bangunan berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri baharu Ukraine, Arseniy Yatsenyuk mempertahankan kesahihan kerajaannya yang Rusia dakwa pelantikannya sebagai tidak sah.

Yatsenyuk juga menyatakan bahawa Crimea akan kekal sebagai sebahagian daripada Ukraine dan bersedia menimbangkan untuk memberi wilayah itu lebih kuasa autonomi.

Beliau dalam temu bual pertamanya sejak memegang tampuk pentadbiran negara ini menyalahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai pencetus krisis antarabangsa paling buruk di Eropah selepas Perang Dingin. 

Perdana Menteri Ukraine itu turut melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan pencerobohan Rusia di Crimea. Yatsenyuk bagaimanapun menafikan dakwaan beliau meminta bantuan ketenteraan dari Ameriak Syarikat (AS). - AGENSI

Tuesday, March 4, 2014

Petronas untung RM65,58 billion pada 2013.

KUALA LUMPUR 4 Mac - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mencatatkan keuntungan selepas cukai RM65.58 bilion pada tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2013, meningkat RM6.06 bilion, berbanding keuntungan 2012 sebanyak RM59.52 bilion.

Dalam tempoh itu, hasil naik sembilan peratus kepada RM317.31 bilion berbanding RM291.23 bilion pada tahun sebelumnya, kata Naib Presiden Eksekutif (Kewangan) kumpulan, Datuk George Ratilal pada taklimat media di sini hari ini. -(Utusan online-Ekonomi).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.Blogspot.com.at 1901 hrs on March 04,2014.

Monday, March 3, 2014

Tentera Rusia atur kedudukan

Sebahagian kenderaan perisai dipercayai milik tentera Rusia, dilihat berada di dalam kawasan unit tentera Ukraine di Kampung Perevalnoye, di luar Simferopol, Crimea, semalam. - REUTERS

KIEV 3 Mac - Tentera Rusia mula mengatur kedudukan kenderaan berperisai di kawasan sempadan wilayah autonomi Crimea, sekali gus memberi bayangan perang antara Ukraine dan Moscow boleh tercetus pada bila-bila masa.

Seorang pengawal sempadan Ukraine yang enggan dikenali berkata, kapal-kapal tentera laut Rusia juga telah tiba di perairan Sevastopol yang merupakan bandar pelabuhan utama Crimea.

Bandar tersebut juga adalah merupakan pangkalan utama Armada Tentera Laut Rusia di Laut Hitam. Menurut pengawal tersebut, tentera Rusia menyekat perkhidmatan telekomunikasi di beberapa kawasan di wilayah berkenaan.

Bagaimanapun, pengawal itu tidak pasti jumlah kenderaan tentera Rusia yang dikerah ke sempadan tersebut yang terletak di sepanjang 4.5 kilometer di Selat Kerch.

Semalam, kerajaan sementara Ukraine mengarahkan semua anggota tentera simpanannya diaktifkan bagi menghadapi konfrontasi dengan Rusia.

Dalam perkembangan lain, berpuluh-puluh orang dilaporkan cedera dalam keganasan yang tercetus di bandar Kharkiv, timur Ukraine apabila aktivis pro-Rusia bertindak menyerbu ibu pejabat kerajaan wilayah itu, kelmarin.

Keganasan terbaharu itu membayangkan kerajaan sementara Ukraine berdepan masalah untuk mengukuhkan cengkaman di bandar utama yang dikuasai penduduk pro-Rusia selepas wilayah autonomi Crimea ketika ini dikuasai oleh kumpulan lelaki bersenjata yang berpihak kepada Moscow.

Bandar Kharkiv terletak kira-kira 658 kilometer di utara wilayah Crimea yang menjadi tumpuan dunia ekoran konfrontasi antara Rusia dan Ukraine.

Beribu-ribu penduduk mengadakan bantahan terhadap kerajaan pimpinan Presiden sementara, Oleksandr Turchynov di beberapa bandar utama termasuk di Donetsk, bandar kelahiran bekas Presiden Viktor Yanukovych, yang digulingkan pada minggu lalu.

Mereka mendesak pengunduran kerajaan sementara Ukraine dan menggesa penyatuan dengan Rusia. 

Sementara itu, Ketua Tentera Laut Ukraine, Laksamana Muda Denis Berezovsky belot apabila menyatakan pendirian untuk berpihak kepada kerajaan Crimea yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Sergey Aksenov. 

Tindakannya itu bakal meningkatkan lagi ketegangan antara Rusia dan Ukraine yang masing-masing mahu mempertahankan Crimea, terutamanya Moscow kerana wilayah tersebut merupakan pangkalan utama tentera lautnya yang ditempatkan di Laut Hitam. - REUTERS( Utusan online- Luar Negara).Posted by abnmulya /Bakar Ninmgal.blogspot.com .ata8.18 am On March 04,2014.

Permohon Anwar taktik tangguh

Oleh SUWARNI MOKHTAR pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 3 Mac - Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan ketiga Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggugurkan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan, menyifatkan permohonan terbaharu Ketua Pembangkang itu hanya bertujuan melengah-lengahkan rayuan terhadap pembebasannya daripada tuduhan liwat.

Sambil menganggap perkembangan rayuan tersebut begitu perlahan seperti siput, Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga hakim dengan tegas menolak permohonan Anwar untuk menangguhkannya, sekali gus memerintahkan rayuan pihak pendakwaan itu diteruskan pada Khamis dan Jumaat ini.

"Terdapat elemen yang menunjukkan bahawa permohonan dibuat atas tujuan untuk melengahkan rayuan pihak pendakwaan yang pada ketika ini bergerak begitu perlahan seperti siput. Tiada sebarang perkembangan dalam rayuan itu sejak Julai 2013," kata beliau.


Hakim Balia yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Aziah Ali dan Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebelum itu sebulat suara menolak permohonan terbaharu Anwar untuk menyingkirkan Muhammad Shafee yang difailkan pada 25 Februari lalu.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah mendapati bahawa permohonan kali ketiga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dan remeh.


Panel tersebut juga berpendapat, mahkamah tidak boleh memutuskan bahawa Muhammad Shafee adalah tidak layak dan sesuai untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terbabit semata-mata atas keputusan Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam.

Selain itu, kuasa melantik seseorang individu untuk mewakili pihak pendakwaan merupakan kuasa mutlak Peguam Negara yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa.

Anwar mengemukakan permohonan itu atas alasan pada 5 Oktober 2012, Muhammad Shafee telah didenda RM5,000 selepas didapati melanggar Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan keputusan jawatankuasa itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dua percubaan Anwar untuk menggugurkan Muhammad Shafee daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam rayuan kes liwatnya sebelum ini telah ditolak sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan. 

Berhubung permohonan penangguhan rayuan itu Hakim Balia menyatakan, tiada sebarang keadaan istimewa yang membolehkan rayuan tersebut ditangguhkan walaupun pihak pembelaan ingin merayu di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan hari ini.

"Kami mendapati bahawa tiada sebab khas untuk menangguhkan rayuan. Rayuan terhadap kes liwat itu akan berjalan pada 6 dan 7 Mac ini, pukul 9 pagi," kata Hakim Balia.


Rayuan kes liwat itu telah ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak Disember 2013. Anwar, 67, dilepas dan dibebaskan pada 9 Januari 2012 daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan kes liwat itu tertangguh sebanyak 69 kali. 

Esok, Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Anwar untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes liwat terbabit, Supritendan Judy Blacious Pereira setelah Mahkamah Rayuan menolak permohonannya pada 12 Februari lalu.

Permohonan tersebut dibuat untuk mencabar kredibiliti saksi pendakwaan itu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Januari lalu yang membatalkan petisyen Judy untuk menjadi peguam bela dan peguam cara.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya ata 7.53 am on March 04,2014.

Sunday, March 2, 2014

Rusia lulus usul ceroboh Ukraine

Seorang penduduk Ukraine memegang bendera Rusia di hadapan beberapa orang askar yang tidak diketahui identiti mereka yang menghalang laluan ke pangkalan pasukan pemantau sempadan di Balaklava, Ukraine, kelmarin. - AFP 

MOSCOW/KIEV 2 Mac - Dewan Tinggi Parlimen Rusia meluluskan sebulat suara usul yang dibentangkan Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk menceroboh Ukraine, semalam menyaksikan kerajaan baharu Ukraine memberi amaran supaya rakyatnya bersiap sedia untuk berperang sambil merayu bantuan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

\Putin membentangkan usul supaya Parlimen Rusia meluluskan penggunaan tentera di Ukraine berikutan situasi luar biasa di negara itu yang mendatangkan ancaman kepada rakyat Rusia, rakyat senegara Rusia di wilayah Ukraine serta untuk melindungi Armada Laut Hitam di Crimea.

Pengundian usul itu di Dewan Tertinggi Parlimen itu siarkan secara langsung di televisyen Rusia yang menyaksikan negara Barat memberi respons segera kepada keputusan Parlimen Rusia itu.

Kenyataan tegas Putin secara terbuka untuk menghantar tentera ke negara yang mempunyai 46 juta penduduk itu, sekali gus menimbulkan konfrontasi terbesar antara Rusia dan negara-negara Barat selepas Pering Dingin.

Baru-baru ini, tentera Rusia dengan tidak menggunakan sebarang lambang pada uniform mereka termasuk menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran Rusia telahpun menawan wilayah autonomi Crimea. 

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang tanda tentera Rusia masuk ke kawasan lain di Ukraine selain Crimea yang mempunyai majoriti etnik Rusia dan sering menyuarakan hasrat untuk keluar dari Ukraine. 

Sementara itu, Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk memberi amaran langkah Rusia melancarkan tindakan ketenteraan di Ukraine ‘akan menjadi permulaan kepada perang dan pengakhiran kepada hubungan antara Rusia dan Ukraine’.

Pemangku Presiden Ukraine, Oleksander Turchinov dalam masa sama telah mengarahkan tentera Ukraine diletakkan dalam keadaan kesiapsagaan tertinggi untuk berperang.

Menteri Luar Ukraine, Andriy Deshchytsya berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai dari Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah serta menghantar surat kepada NATO bagi ‘mengkaji kesemua kemungkinan untuk melindungi integriti di wilayah itu dan kedaulatan Ukraine’.

Menurut AS, tindakan Rusia itu secara jelas menceroboh kedaulatan Ukraine dan meminta supaya Moscow mengundurkan tenteranya ke pangkalannya di Crimea serta menggesa pemantau antarabangsa segera dihantar ke Ukraine.

Dalam satu kenyataan oleh White House selepas Presiden Barack Obama menghubungi Putin selama 90 minit, AS juga akan menghentikan penglibatan mereka dalan mesyuarat persediaan bagi sidang kemuncak Pemimpin-pemimpin Kumpulan Lapan (G8) di negeri Sochi, Rusia dan memberi amaran tentang ‘pengasingan politik dan ekonomi yang lebih besar’.

Menurut Obama, sekiranya Rusia bimbang tentang nasib etnik Rusia di Ukraine, Moscow seharusnya menangani perkara itu secara aman, namun Putin dalam reaksi balasnya berkata, Rusia berhak untuk melindungi kepentingannya dan mereka yang bertutur dalam bahasa Rusia di Ukraine. - REUTERS(Utusan online-Luar Negara ).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1436 hrs on March 03,2014.

Saturday, March 1, 2014

Wujud kuota 50% untuk golongan muda

KUALA LUMPUR 1 Mac. - Pergerakan Pemuda UMNO Kedah menggesa diwujudkan kuota 50 peratus pemilikan rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk orang muda khususnya bagi pemohon di bawah umur 40 tahun.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, ia disebabkan ketidakupayaan orang muda memiliki rumah akibat kekangan kewangan di peringkat awal.

"Melalui kuota ini, Pemuda UMNO Kedah percaya ia dapat menambah minat orang muda untuk memiliki rumah kali pertama dan pada masa yang sama menyelesaikan permasalahan pemilikan rumah dalam kalangan orang muda," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kata beliau, Pemuda UMNO juga mencadangkan supaya Perbadanan PR1MA Malaysia mewujudkan sayap kewangan sendiri bagi memudahkan proses kelulusan pinjaman khasnya bagi pemohon golongan muda.

Beliau berkata, cadangan itu dikemukakan kerana Pemuda UMNO Kedah bimbang terhadap proses pinjaman dan pembiayaan untuk pemilikan rumah PRIMA ini yang diuruskan oleh bank-bank komersial yang dilihat akan mengenakan pelbagai sekatan dan prosedur kepada peminjam.

"Status pemohon kali pertama terutamanya golongan muda yang ada rekod CCRIS dan CITOS akan menyukarkan proses kelulusan permohonan. Oleh itu kewujudan sayap kewangan sendiri oleh PR1MA adalah penting," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya/Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.24 am on Mac,02,2014.