Saturday, March 8, 2014

Pasport curi dua individu digunakan penumpang pesawat MH370

VIENNA/ROM 9 Mac - Dua individu masing-masing dari Itali dan Austria yang tersenarai sebagai mangsa yang menaiki pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) yang didapati hilang di Laut China Selatan awal hari ini, dipercayai masih hidup dan tidak menaiki pesawat berkenaan.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Itali, tiada rakyatnya menaiki pesawat itu, sebaliknya Luigi Maraldi, 37, disahkan tidak berada di dalam jet penumpang tersebut seperti disenaraikan oleh syarikat penerbangan berkenaan.

Sebuah akhbar Itali, Corriere Della melaporkan bahawa pasport milik Maraldi dipercayai hilang di Thailand pada bulan Ogos lalu.

Agensi berita ANSA pula melaporkan, ibu bapa Maraldi telah pun menghubunginya yang kini berada di Thailand dan mengesahkan anak mereka selamat.

Sementara itu, seorang warga Austria, Christian Kozel, 30, yang turut dilaporkan menaiki pesawat tersebut, dilaporkan selamat. - REUTERS(Utusan online-Luar Negara).Posted by abnmulya .blogspot.com at 10.46 am on March 09.2014.

Pembangkang boikot sidang Dewan Rakyat

SHAH ALAM 8 Mac - Semua ahli Parlimen pembangkang akan memboikot sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan Selasa ini sebagai membantah keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didapati bersalah meliwat pembantunya, enam tahun lalu.

Anwar ketika berucap dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Kelima di sini hari ini berkata, tindakan tersebut dibuat sebagai tanda bantahan terhadap keputusan mahkamah selain mendakwa apa yang berlaku sebagai satu bentuk kezaliman yang dilakukan kerajaan dengan memperalatkan institusi kehakiman.

"Ketiga-tiga parti, ketiga-tiga kepimpinan (PKR, DAP dan Pas) akan arahkan semua ahli Parlimen untuk bantah dan tidak hadir sidang Parlimen pada 11 haribulan (Mac ini)," katanya.

Dalam pada itu, selain memboikot sidang Parlimen, Anwar juga menyatakan, pihaknya hanya akan menghadiri majlis pembukaan sidang Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mac ini namun tidak akan bersama-sama dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dalam perbarisan.

"Kita akan mendengar ucapan Yang di-Pertuan Agong tapi tidak akan bersama dengan ahli Parlimen BN dalam majlis perbarisan, kita terus masuk (dalam Dewan Rakyat).

"Saya sendiri akan utus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan bahawa majlis yang menjemput Ketua Pembangkang untuk minum ringan dengan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan speaker (Dewan Rakyat) saya tidak terima kerana membantah kehadiran Perdana Menteri dan Ketua Hakim Negara," jelasnya.

Semalam, Anwar dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.(Utusan online-Politik).Posted by abnmulya.blogspot.Com.at 10.41 am on March 09,2014.

Friday, March 7, 2014

Pesawat MAS MH370 ke Beijing dilapor hilang hubungan

SEPANG 8 Mac - Penerbangan Malaysia (MAS) hari ini mengesahkan bahawa pesawat MH370 hilang hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang pada 2.40 pagi ini.

Kenyataan MAS itu memberitahu, penerbangan MH370, yang menggunakan pesawat B777-200, berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi tadi dan dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

Katanya, penerbangan itu membawa sejumlah 227 penumpang termasuk 2 bayi dan 12 petugas pesawat. 

Menurut kenyataan itu lagi, MAS sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa, yang sudah pun memulakan usaha mencari dan menyelamat bagi mengenal pasti lokasi pesawat.

MAS akan memberikan berita terkini mengenai kejadian ini dan orang ramai boleh menghubungi nombor 603 7884 1234 bagi maklumat terkini.( Utusna online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya.blogspot.com.at 9.49 am on March 08,2014.

ERDOGAN HARAMKAN fACEBOOK?

Recep Tayyip Erdogan
ANKARA 7 Mac - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengancam untuk mengharamkan Internet termasuk menutup laman web sosial, Facebook dan laman web perkongsian video, YouTube yang menyaksikan dakwaan rakaman perbualannya mendakwa menyokong penyelewengan disiarkan sejak beberapa minggu lalu.

 Erdogan berkata, kerajaan pimpinannya akan memastikan penyiaran rakaman tersebut tidak akan berulang, yang didakwa didalangi pengikut seorang pemimpin Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fethullah Gulen.

 Beliau menuduh pergerakan Fethullah menyusup ke dalam pasukan polis dan badan kehakiman selain melancarkan aktiviti pengintipan termasuk memintas perbualan telefonnya.

 "Kami akan memastikan perkara ini tidak berulang, biar apa yang akan dikatakan penduduk dunia. Kami tidak akan membenarkan rakyat dirosakkan oleh YouTube, Facebook dan laman web lain.

 Kami akan ambil semua langkah dalam mencapai tujuan ini," katanya. - AP Timbalan Perdana Menteri Crimea dalam temu bual bersama stesen ATV. - AGENSI( Utusan online-Luar Negara).Posted bya abnmulya .blogspot.com at 10.123 am on March 08,2014.

Sindikit nikah EKSPRES

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED 
pengarang@utusan.com.my 


KUALA LUMPUR 7 Mac - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mendedahkan terdapat segelintir pengamal undang-undang di negara ini terlibat dalam sindiket 'nikah ekspres' di negara jiran sehingga mengaut keuntungan ribuan ringgit.

Presidennya, Musa Awang berkata, bagaimanapun perkara itu masih dalam siasatan pihaknya berdasarkan maklumat tertentu. Jelasnya, sindiket tersebut menjalankan perkhidmatan nikah di luar negara dengan bayaran serendah RM2,500 berserta pakej penginapan.

"Nikah ekspres di luar negara ini dilakukan untuk mengelak kawalan-kawalan perundangan terutama dalam hal berkaitan poligami atau masalah keizinan wali.

"Perkara ini sudah lama berlaku tetapi sejak akhir-akhir ini, mereka semakin terbuka sehingga berani mengiklankan perkhidmatan di internet, membuka syarikat dan laman web. Kita kesan ada segelintir (peguam) terlibat tetapi masih dalam siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Perhimpunan Peguam Syarie Muda 2014 yang dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Dr. Ibrahim Lembut di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Musa memberitahu, pihaknya sedang mengumpul bukti untuk tin dakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung penubuhan syarikat yang menjalankan nikah ekspres berkenaan.

"Kita nak nasihatkan pasangan-pasangan yang berdepan masalah pernikahan supaya mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya. Dalam undang-undang kita ada penyelesaian untuk membantu mereka ini.

"Apabila nikah tanpa kebenaran di luar negara, banyak beri kesan negatif yang ditanggung pasangan terbabit terutama dari segi pendaftaran nikah, pengesahan nikah, sah taraf anak dan apabila meninggal, berdepan pula isu faraid, harta sepencarian," jelasnya.

Beliau turut meminta kerajaan mengkaji semula hukuman atau mengenakan hukuman tegas kepada mereka yang terlibat dengan sindiket nikah ekspres itu.

Sementara itu, beliau menunjukkan contoh kad perniagaan sebuah 'syarikat' yang menjalankan sindiket nikah ekspres, khususnya berkaitan pasangan yang berdepan masalah poligami, halangan pernikahan dan mengandung tanpa surat nikah.( Urtusan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya .blogspot.com.at 9.43 am on March 08,2014.

Anwar dihukum penjara 5 tahun

Oleh AMIRUDDIN HARUN, 
SUWARNI MOKHTAR, 
RODELIO JUNJUN TAUCAN, 
ILLAH HAFIZ AZIZ dan HUSSAINI AMRAN 



PUTRAJAYA 7 Mac - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan setelah didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh sebulat suara mendapati Anwar bersalah pada pukul 6.15 petang ini setelah mendengar hujah kedua-dua pihak sejak pukul 9.15 pagi.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan dengan syarat Ahli Parlimen Permatang Pauh itu perlu membayar jaminan sebanyak RM10,000 sebelum atau pada pukul 11 pagi, Isnin ini.

Panel tersebut memutuskan demikian setelah membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang diketuai oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut. 

Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Ketua Pembangkang itu didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Rayuan tersebut didengar selama dua hari sejak semalam setelah tertangguh semenjak Julai tahun lalu. Wajah Anwar dilihat muram sepanjang prosiding berjalan meskipun kerap dilihat cuba bergelak ketawa ketika menemui pihak media, barisan peguam atau para penyokongnya serta pemerhati asing yang memenuhi galeri awam semasa mahkamah berhenti rehat seketika.

Ini sabitan kedua terhadap Anwar selepas dia penah dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2000 setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar. Walau bagaimanapun, empat tahun kemudian, hukuman dan sabitan tersebut berjaya diketepikan oleh beliau di Mahkamah Persekutuan pada 5 September 2004 dengan keputusan majoriti 2-1.

Pada prosiding hari ini, ketika membaca penghakiman ringkas, Hakim Balia menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila tersalah tafsir bahawa integriti bahan bukti yang diletakkan di dalam 11 botol sampel berlainan telah tercemar.

Bahan bukti itu sebelum ini didakwa tercemar apabila beg plastik yang digunakan untuk menempatkan kesemua sampel itu digunting di bahagian bawahnya oleh bekas pegawai penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira.

"Kami berpuas hati bahawa apa yang dilakukan oleh PW25 (Judy) hanyalah menggunting bahagian bawah plastik berkenaan, membungkus semula setiap botol sampel secara berasingan sebelum membuat penandaan bagi mematuhi Arahan Tetap Ketua Polis (IGSO).

"Adalah tidak disangkal bahawa hanya P27 (beg plastik) yang telah diusik dan bukannya botol-botol sampel.
"Ia turut disokong oleh keterangan saksi pendakwaan kelima, ahli kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Seah Lay Hong bahawa kesemua meterai (seal) botol-botol sampel itu masih berkeadaan baik sewaktu menerimanya," kata hakim tersebut.

Menurut Hakim Balia, sekiranya hakim bicara telah meneliti keterangan ini dengan teratur, beliau tidak akan membuat kesimpulan bahawa bahan bukti terbabit telah tercemar sebelum diserahkan kepada ahli kimia. 

Panel tersebut turut menyatakan hakim terdahulu juga terkhilaf apabila menerima keterangan saksi pakar dari Australia, Profesor Madya Dr. David Lawrence Noel Wells dan perunding Sistem Genetik Molekular, Dr. Brian McDonald; yang disifatkan hanyalah ‘armchair expert’ (pakar yang hanya pandai berteori).

"Kami mendapati tiada sebab Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perlu berganjak dengan hasil penemuan yang dibuat di akhir kes pendakwaan yang sempurna, lengkap dan tanpa kecacatan.

"Lay Hong dan Nor Aidora Saedon (ahli kimia) merupakan saksi yang mempunyai pengalaman yang luas dan kelayakan akademik sebagai saintis forensik.

"Hakim terdahulu telah tersalah arah dalam keputusannya sehingga memutuskan untuk membebaskan responden (Anwar). Bagaimanapun, atas alasan yang dikemukakan, kami membenarkan rayuan ini dan responden disabitkan dengan kesalahan," kata beliau.

Sejurus selepas keputusan itu dibuat, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang duduk di galeri awam dilihat meluru ke arah Anwar untuk menenangkan suaminya.(Utusan Online-Mahkamah).Posted bya  abnmulya.blogspot.com.at 9.30 am on March 08,2014.

Anwar dibenar tangguh hukuman

PUTRAJAYA 7 Mac - Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lima tahun sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin RM10,000 yang mesti dibayar sebelum pukul 11 pagi, Isnin. -(Utusanaonline-Mahkamah).Posted by abnmulya.blogspot.com at 1935 hrs on March 07,2014.