Thursday, October 9, 2014

Tidak akan tunduk kepada DAP

Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

DARI KIRI: Iszuree Ibrahim, Lim Guan Eng

PULAU PINANG 8 Okt. - Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim yang digantung tugasnya oleh kerajaan DAP Pulau Pinang menegaskan tidak akan tunduk kepada tekanan diterimanya termasuk oleh Pas negeri yang mahu beliau memohon maaf kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Iszuree mengakui beliau diberi dua pilihan iaitu memohon maaf atau disingkirkan jawatannya dalam MPPP.

"Ya, perkara itu merupakan keputusan mesyuarat melibatkan pemimpin Pas negeri dengan DAP, namun saya kekal dengan pendirian untuk tidak memohon maaf kerana saya membangkitkan perkara yang betul," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tindakan ke atas Iszuree itu dilakukan selepas beliau mengkritik pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang ketika berucap dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Batu Pahat baru-baru ini.

Hari ini, mesyuarat Exco kerajaan negeri memutuskan tidak akan melaksanakan pemecatan Iszuree sehingga satu perbincangan dibuat bersama beberapa pihak lain termasuk Ahli Majlis MPPP walaupun beliau melanggar etika.

Begitupun, beliau digugurkan daripada menganggotai mana-mana jawatankuasa kecil MPPP manakala peruntukan akan disalurkan kepada seorang lagi Ahli Majlis dari Pas, Mhd. Nasir Yahya.
Keputusan itu sekali gus menjadikan Iszuree sebagai Ahli Majlis yang tidak berfungsi dan sekadar pada nama sahaja.

Dalam hal ini, beliau mengakui turut kecewa dengan sikap sesetengah pemimpin Pas negeri yang lebih cenderung memihak kepada DAP berbanding dirinya selaku ahli Pas.

"Ada pemimpin utama Pas negeri meminta saya memohon maaf kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng tetapi saya tidak akan berbuat demikian," katanya.( Utusan online-politik) Posted by abnmulya / Abu Bakar Ninggal.blogspot.com at 1946 hrs on Oktober 09,2014.

Wednesday, October 8, 2014

Dewan Ulama Pas kecam Oktoberfest

KOTA BHARU 8 Okt. - Dewan Ulama Pas mengecam sekeras-kerasnya penganjuran festival minuman keras, Oktoberfest di Selangor.

Sambil menyifatkan penganjuran tersebut sebagai pengkhianatan terhadap sosiobudaya
dan nilai tatasusila beragama di negara ini, Dewan Ulama Pas turut kesal dengan penganjuran tersebut selain berharap tindakan tegas kepada pihak terlibat perlu segera diambil.

Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yakob berkata, Islam amat bertegas
dengan prisip tidak akan membiarkan penularan gejala tidak bermoral itu.

Beliau berkata, pesta arak banyak kesan buruknya kepada masyarakat terutama kepada mereka yang beragama Islam.

"Kita bimbang dengan penganjurannya. Ini akan menjadi bahan promosi dan kita juga khuatir akan terdapat dalam kalangan umat Islam terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE-TERKINI ( Posted by abnmulya /Abu bakar Ninggal.blogspot.com at 2400 hrs on Oktober 08,2014.

Tuesday, October 7, 2014

Azmin digesa bukti komitmen junjung agama Islam

SHAH ALAM 6 Okt. - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di bawah pemimpinan baharu Menteri Besar Mohamed Azmin (gambar kiri) digesa membuktikan komitmen menjunjung dan mempertahankan kesucian agama Islam dengan menghentikan pesta arak yang akan diadakan Ahad ini di Petaling Jaya.

Presiden Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDS), Rosdi Long berkata, pesta arak atau lebih dikenali sebagai Octoberfest itu jelas satu aktiviti mempromosikan minuman keras serta kegiatan mungkar yang perlu dihalang.

Menurutnya, apa yang lebih menyedihkan, pesta itu akan diadakan pada bulan haji ketika umat Islam menghayati erti pengorbanan yang jelas sebagai satu perbuatan biadab.

"Pesta ini juga adalah bertujuan untuk menguji komitmen kepimpinan baharu kerajaan negeri sama ada mampu mempertahankan kesucian Islam dan menjaga sensetiviti umatnya.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin perlu membuktikan ketegasan dan keberanian untuk menjaga dan menjunjun kesucian agama Islam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Acara kemuncak Octoberfest yang akan diadakan pada 10 hingga 12 Oktober ini di tempat letak kereta One Utama, Petaling Jaya mendapat tentangan beberapa pihak ekoran diiklankan secara besar-besaran dan terbuka termasuk menggunakan papan iklan besar di Shah Alam .

Rosdi berkata, kerajaan PKR sepatutnya mengambil contoh atas tindakan yang diambil oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang membatalkan penganjuran pesta bikini di Hartamas pada Jun lalu selepas mendapat bantahan daripada orang ramai.

Beliau dalam pada itu turut menyuarakan rasa terkilan dengan kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang menyatakan penganjuran Octoberfest tidak boleh dihalang kerana Malaysia sebuah negara majmuk dan ia dianjurkan untuk orang bukan Islam.

"Beliau menganggap pesta arak itu sebagai satu kebebasan dan kononnya tidak melibatkan orang Islam.

"Namun, kenapa ia dihebahkan secara umum. Kami tidak ada masalah dengan program itu tetapi biarlah diadakan mengikut tata yang betul dan menghormati sensitiviti umat Islam," ujarnya.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya  / Abu b akar ninggal.blogspot.com at 2024 hrs on  Oktober 07,2014.

Saturday, October 4, 2014

Pendaftar Pertubuhan nafi iktraf CEC DAP

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kesahihan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sekali lagi menjadi tanda tanya apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini membuat penafian pernah mengiktiraf pemilihan tersebut sebagai sah.

Malah ROS turut mempersoalkan dakwaan yang dibuat oleh DAP itu dan tertanya-tanya bagaimana parti tersebut boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kepada mahkamah.

Timbalan Ketua Pengarah ROS, Mohd. Norzam Mustapa berkata, hal ini kerana badan tersebut belum mendapat apa-apa pemberitahuan daripada mahkamah berhubung status CEC parti berkenaan sehingga hari ini.

Walau bagaimanapun katanya, ROS akan menyiasat perkara tersebut seterusnya menjawab isu 120 cawangan DAP tidak mendaftar dan mengundi pada pemilihan semua CEC parti berkenaan yang kini menjadi perbualan hangat masyarakat.

“Kita tidak tahu bagaimana mereka boleh mengisytiharkan sebegitu (CEC DAP sah) kerana kita pun tidak dapat sebarang maklumat begitu daripada mana-mana pihak terutama mahkamah.

“Pada ketika ini, ROS sedang menyiasat perkara ini dan berharap dapat memperoleh jawapan terhadap persoalan-persoalan melibatkan CEC DAP tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 23 September lalu, kemelut 21 bulan melibatkan ROS dan DAP akhirnya selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila agensi tersebut didakwa mengiktiraf CEC parti berkenaan.

Dalam pendengaran kes saman DAP terhadap agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri itu, ROS bersetuju bahawa CEC DAP yang dilantik pada 29 September tahun lalu adalah sah dan boleh melaksanakan tugas.

Ekoran itu DAP mengambil keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman yang difailkan mereka terhadap ROS untuk memaksanya supaya mengiktiraf pemilihan CEC dalam Kongres Khas parti itu pada 29 September 2013.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili parti itu memberitahu Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Kuala Lumpur, ROS telah mengakui bahawa CEC yang telah dipilih itu boleh menjalankan kuasa dan tugas yang diberikan kepadanya mengikut perlembagaan DAP.

Hakim Datuk Zaleha Yusof sehubungan itu membatalkan permohonan DAP tersebut. DAP mengemukakan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman pada Februari lalu dalam usaha memaksa ROS mengiktiraf pemilihan CEC tersebut.

Parti tersebut mengadakan pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas itu selepas diarah berbuat demikian oleh ROS yang tidak mengiktiraf keputusan pemilihan pada 15 Disember 2012.

Semalam, Presiden Jaringan Cina Malaysia (JCM), Ng Lum Yong menggesa Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan, Lim Guan Eng memberi penjelasan kepada semua kaum Cina berhubung penglibatan 120 cawangan parti itu yang tidak berdaftar namun hadir dan mengundi pada pemilihan semula CEC pada 29 September 2013.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu bakaer Ninggal.blogspot.com.at 2120 hrs on Oktober 03,2014.

Thursday, October 2, 2014

CUKUPLAH AZMIN!

Oleh Zulkiflee Bakar
Pengarang@utusan.com.my 

Azmin Ali
KUALA LUMPUR 2 Okt. - "Cukuplah Azmin!'' - Itulah desakan rakyat Selangor kepada Menteri Besar baharu mereka, Mohamed Azmin Ali yang dianggap tidak sampai 10 hari memegang jawatan tersebut dilihat seolah-olah lebih banyak memberi tumpuan untuk melunaskan dendam politik terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Walaupun pada hari mengangkat sumpah jawatan pada 23 September lalu, Azmin dengan bangga menyatakan, "Selaku Menteri Besar pada hari ini, sudah tentulah tanggungjawab saya untuk melaksanakan dasar peduli rakyat selain memastikan pentadbiran negeri benar-benar bersih dan adil.", tetapi semua itu seolah-olah ucapan politik semata-mata.

Sebaliknya sehingga ke hari ini, Azmin masih belum membentangkan sebarang agenda yang dilihat bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat Selangor, apa yang beliau lakukan ialah mengkaji dan membatalkan satu persatu tindakan atau keputusan yang dibuat ketika kerajaan negeri di bawah pentadbiran Abdul Khalid.

Langkah pertama yang beliau lakukan ialah membatalkan kenaikan kadar elaun empat jawatan utama iaitu Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri. Turut dilakukan ialah melantik semula Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Tidak cukup dengan itu, tindakan Azmin yang mahukan perjanjian penstrukturan semula industri air negeri itu dan kerajaan Persekutuan dikaji semula menimbulkan persoalan.

Ini memandangkan Abdul Khalid sudah berkali-kali menegaskan, perjanjian itu dilakukan demi kepentingan rakyat, tetapi Azmin dilihat masih tidak berpuas hati apabila hari ini memohon kepada kerajaan persekutuan untuk membolehkan perjanjian itu yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) didedahkan kepada umum.

Sebenarnya sebagai Menteri Besar, Azmin berhak melakukan tindakan tersebut tetapi dalam masa yang sama beliau tidak boleh menepis tanggapan bahawa semua itu berkaitan dendam politiknya terhadap Abdul Khalid.

Mungkin sementara waktu, rakyat boleh menerima penjelasan Azmin bahawa beliau tidak ada dendam terhadap Abdul Khalid memandangkan bekas Menteri Besar Selangor itu "adalah kawan saya'' tetapi ia masih belum mampu menutupi sejarah politik antara kedua-dua.

Semua orang tahu, Azmin dan Abdul Khalid ibarat `musuh tradisi' dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor. Azmin merupakan pengkritik utama pentadbiran Abdul Khalid dan pernah mempengerusikan beberapa mesyuarat PKR yang antara lain turut membincangkan penyingkiran Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Oleh itu Azmin perlu membuktikan beliau benar-benar tidak mempunyai dendam politik kepada Abdul Khalid dengan menghentikan tindakan-tindakan yang boleh ditafsirkan ke arah tersebut.

Rakyat Selangor sudah bosan dengan pertelingkahan dan kemelut politik yang dicetuskan oleh PKR berikutan `Langkah Kajang' yang direkacipta oleh parti itu, justeru apabila Azmin dilantik sebagai Menteri Besar mereka mengharapkan segala kekaluatan tersebut dihentikan.

Dalam laman sosial dan blog-blog ternyata rakyat Selangor mahukan Azmin menumpu perhatian kepada usaha meningkat taraf hidup mereka dan bukannya membelek satu persatu apa yang sudah dilakukan oleh Abdul Khalid.

Azmin sudah berjanji gesaan Anwar yang mahukan beliau mendedahkan kepincangan dan keputusan meragukan yang dibuat dalam pentadbiran Abdul Khalid bukanlah satu perkara yang perlu disegerakan.

Tetapi anehnya, tindakan yang beliau lakukan selepas 10 hari menjadi Menteri Besar seolah-olah menampakkan Azmin sengaja mahu mewujudkan keraguan terhadap apa yang dilaksanakan oleh Abdul Khalid ketika menjadi Menteri Besar.

Bagaimanapun dalam keghairahan dan keterujaan tersebut, Azmin harus memahami beliau menjadi Menteri Besar bukan atas pilihan rakyat, beliau menduduki kerusi nombor satu Selangor bukan melalui satu pilihan raya tetapi beliau berada di situ kerana langkah politik songsang PKR melalui `Langkah Kajang' .

Azmin tidak harus melupakan Abdul Khalid mempunyai integriti yang cukup tinggi dan tidak mempunyai sebarang `rekod' yang boleh dikaitkan dengan soal moral. Abdul Khalid tidak ada rakaman litar tertutup (CCTV) dan tidak pernah disiasat oleh pihak berkuasa atas apa-apa penyelewengan sepanjang Menteri Besar.

Disebabkan 'rekod' inilah, rakyat Selangor membuat keputusan terus memberi mandat kepada pakatan pembangkang. Mereka memberi kepercayaan itu bukan kerana PKR tetapi atas faktor Abdul Khalid.

Inilah fakta yang tidak harus dilupakan oleh Azmin. Jika benar PKR mendapat kepercayaan rakyat kenapakah parti itu mendapat kerusi paling rendah berbanding sekutunya, DAP dan Pas yang masing-masing menguasai 15 kerusi sedangkan PKR hanya 14 kerusi?

Oleh itu, dalam mentadbir Selangor adalah lebih baik Azmin berusaha memberi keyakinan kepada rakyat melalui dasar-dasar yang bertujuan untuk mensejahterakan mereka dan bukannya dilihat lebih tertumpu kepada usaha melunaskan dendam politik dengan Abdul Khalid.

Malah lebih penting daripada itu, Azmin perlu berhati-hati dalam tindak-tanduknya supaya beliau tidak dianggap Menteri Besar bertaraf `kawalan jauh' kerana ia akan mengakibatkan rakyat Selangor menganggap nasib mereka bagaikan, `lari mulut buaya masuk mulut harimau'.

Tunaikanlah janji yang beliau lafazkan pada 23 September lalu iaitu meneruskan program dan dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran Abdul Khalid kerana faktor itulah yang memungkinkan Azmin merasai nikmat menjadi Menteri Besar.( Utusan onlie-poliik).Posted by abnmulya /Abu bakar Ninggal.blogspot.com.at 11.52 am on Oktber 03,2014.

Wednesday, October 1, 2014

USAHA TUTUP MULUT SAYA- iSZUREEN

PULAU PINANG 30 Sept. - Bendahari Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan DAP negeri itu menyingkirkan beliau daripada semua Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) seolah-olah cuba menutup mulutnya.
Iszuree Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan DAP negeri
P.Pinang itu seolah-olah cuba menutup mulutnya. 

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membuktikan kerajaan negeri berjiwa besar dalam membela rakyat dan mengamal demokrasi.

"Apa yang dilakukan terhadap saya ini seolah-olah cuba menutup mulut saya yang jelas bukan cara terbaik dalam amalan demokrasi. Perkara yang dibangkitkan adalah demi rakyat dan bukan niat saya untuk menimbulkan provokasi kepada kerajaan negeri,'' katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.

Tindakan ke atas Iszuree itu dilakukan selepas beliau mengkritik pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 baru ini-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Pas negeri, Fadzil Kemi berkata, kerjaan negeri sepatutnya lebih terbuka dalam menerima cadangan yang disampaikan Iszuree.

Katanya, apa yang dinyatakan itu adalah suara Pas negeri yang mahu melihat nasib rakyat khususnya mereka yang terlibat dalam isu pengambilan tanah untuk tujuan pembangunan terus terbela.

"Sehingga kini sebanyak 25 buah kampung telah menjadi mangsa kepada pembangunan, jadi sudah sampai masanya satu mekanisme dirangka bagi menangani masalah pengusiran penduduk kampung di negeri ini dari terus berlaku.

"Siapa yang akan bertanggungjawab terhadap nasib penduduk kampung yang diusir ini? Kita kalau tiada bekalan elektrik sehari pun sudah kalut, ini pula kehilangan rumah," katanya.

Tambah beliau, pemecatan Iszuree itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana yang lebih penting adalah isi usul yang dibawa dalam menjamin kepentingan rakyat negeri ini.

Katanya, Pas negeri hanya merupakan suara minoriti dalam MPPP memandangkan daripada 24 ahli majlis yang dilantik hanya dua diwakili parti itu termasuk Iszuree. Malah katanya, Pas juga tiada wakil dalam Exco kerajaan negeri.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Abu bakar ninggal.blogspot.com.at 1852 hrs on Oktober 01,2014.

Malaysia tak pulang pingat

TAI Cheau Xuen dibatalkan penyertaan pada Sukan Asia Incheon setelah didapati positif dalam ujian dadah dan pingatnya akan ditarik balik tetapi menunggu hasil rayuan kontinjen negara. <


INCHEON - Malaysia tidak akan mengembalikan pingat emas Sukan Asia XVII yang dimenangi oleh Tai Cheau Xuen walaupun alet wusyu negara itu disahkan gagal ujian doping semalam.

Ketua kontinjen negara Datuk Danyal Balagopal sebaliknya menegaskan, rayuan akan dikemukakan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) kerana sejak awal lagi Malaysia meragui proses ujian doping itu dilakukan.

Antara yang menimbulkan keraguan adalah mengapa Majlis Olimpik Asia (OCA) mengambil masa yang terlalu lama sehingga 15 jam untuk mendapatkan keputusan ujian air kencing, sedangkan kebiasaannya boleh diketahui serta merta sebaik saja contoh air kencing dibawa masuk ke makmal.

Malah katanya, pada hari proses air kencing diambil, terdapat lima botol contoh yang diletakkan di satu tempat, justeru mungkin berlaku kesilapan seperti air kencing tertukar ketika dibawa ke makmal.

"Buat apa kami hendak pulangkan pingat emas? Kami akan mengemukan rayuan kepada CAS kerana terdapat banyak keraguan dalam cara kes ini dikendalikan.

"Mengapa mereka mengambil masa terlalu lama hingga 15 jam untuk mendapatkan keputusan, malah selepas pertandingan pun, Cheau Xuen menunggu hingga hampir dua jam untuk menjalani ujian.

"Ada beberapa perkara lagi yang meragukan, tetapi saya tidak boleh bercakap terlalu banyak kerana ini melibatkan isu undang-undang. Saya akan bincang dengan ISN (Institut Sukan Negara) dan mengemukakan dokumen untuk merayu kepada CAS," ujar Danyal.

Semalam, OCA mengesahkan pingat emas yang dimenangi Cheau Xuen dalam acara nanquan dan nandao all around wanita ditarik balik selepas atlet berusia 23 tahun itu didapati positif mengambil dadah sibutramine.

Cheau Xuen menyumbangkan emas pertama buat kontinjen Malaysia di Incheon pada 20 September lalu.

Apa yang berlaku kepada Cheau Xuen adalah sesuatu yang malang, apatah lagi kontinjen Malaysia amat yakin atlet kelahiran Negeri Sembilan itu tidak bersalah dan seorang yang jujur.

Menurut Danyal, beliau dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz berulang kali menyoal Cheau Xuen sebaik keputusan sampel A diterima dan dia menafikan sekeras-kerasnya ada mengambil sebarang dadah atau bahan yang tidak dibenarkan.

"Saya yakin dia tidak bersalah. Kami akan mengemukakan rayuan di sini (Incheon) juga kerana CAS juga hadir pada Sukan Asia. Saya difahamkan dadah sibutramine biasanya terdapat dalam kandungan suplemen untuk menurunkan berat badan," kata Danyal lagi. - UTUSAN-SUKAN ( Posted by abnmulya /Abu bakar Ninggal.blogspot.com. at 1728 hrs on Oktober 01,2014.