Friday, January 22, 2016

BIASISWA JPA: JANGAN PERCAYA KHABAR ANGIN

Fahami dahulu isi kandungan perbincangan 


FARHANA JONI 23 Januari 2016 12:47 AM 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Orang ramai diminta tidak terus mempercayai khabar angin berhubungpemansuhan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan menuduh kerajaan gagal menguruskan kewangan negara.

Fathul Bari Mat Jahya
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, masyarakat sepatutnya memahami terlebih dahulu isi kandungan perbincangan JPA dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Katanya, berdasarkan perbualan antara beliau dengan beberapa pegawai kementerian tersebut dan JPA, fokus perbincangan JPA dan kementerian berkenaan adalah penilaian semula kelayakan penerima biasiswa.
“Sebenarnya perbincangan itu bukan untuk memotong bajet biasiswa pelajar, sebaliknya penilaian semula kelayakan penerima daripada beberapa perspektif supaya dapat dioptimumkan kepada kumpulan sasar yang lebih tepat.
“Antara yang diteliti adalah pelajar-pelajar yang menerima biasiswa tetapi tidak menamatkan pengajiannya sama ada kerana gagal, malas atau sebab-sebab lain. Malah saya difahamkan tiada mekanisme yang jelas untuk menyelia situasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fathul Bari, situasi itu menyebabkan pembiayaan pendidikan kerajaan itu sia-sia apabila penerima gagal memanfaatkan biasiswa tersebut dengan baik.
Katanya, penerima biasiswa dinasihatkan supaya bijak untuk menguruskan pembiayaan pendidikan itu kerana ia adalah wang negara.
“Jika kita mendesak kerajaan supaya menguruskan wang negara dengan baik, maka kita juga perlu muhasabah diri, adakah kita menguruskan wang negara yang diamanahkan kepada kita atas nama biasiswa dengan baik juga.
“Buat masa ini, kita berilah peluang kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, JPA dan beberapa institusi lain berbincang seterusnya menyelesaikan masalah itu agar memperoleh keputusan yang seimbang bagi menjaga kepentingan ekonomi negara dan ilmu,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan menggubal model baharu dalam pemberian biasiswa JPA dalam masa terdekat bagi mencegah penerima biasiswa mengelak untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.( utusan online).Posted by abnmulya // hj.abu bakar ninggal.blogspot.com.at 7.17am on January 23,2016

Hampir pasti ganti MB Kedah

Perdana Menteri beri jaminan teliti hasrat hati UMNO Kedah 

ZULKIFLEE BAKAR,
HUSSAINI AMRAN, SAFINA RAMLI, AZMAN IBRAHIM
DAN SYUKRI SHAARI 
23 Januari 2016 1:14 AM 

NAJIB TUN RAZAK ketika menghadiri perjumpaan tertutup bersama Ketua UMNO Bahagian, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Exco Kedah di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan akan meneliti permohonan dan hasrat hati UMNO Kedah yang mahukan beliau melakukan perubahan dalam kepemimpinan parti itu di negeri tersebut dengan menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Dalam pertemuan beliau de­ngan barisan kepemimpinan UMNO dan Exco kerajaan negeri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini, Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau akan meneliti semua perkara sebelum membuat sebarang keputusan.

“Perdana Menteri akui apa yang berlaku adalah suara yang dibawa oleh ketua-ketua bahagian di Kedah, oleh itu beliau minta diberi masa untuk membuat keputusan kerana apa juga tindakan perlu mengambil kira kesan kepada UMNO Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

“Selain itu beliau juga menuntut kesetiaan semua pemimpin UMNO negeri tersebut terutamanya apabila keputusan dibuat dalam tempoh sehari dua lagi,’’ kata satu sumber yang turut menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat itu dihadiri oleh lebih 50 orang pemimpin UMNO Kedah. Antara yang hadir Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah; Ahli Parlimen Jerai Datuk Seri Dr. Jamil Khir Baharom; Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Dawai, Datuk Tajol Urus Mat Zain; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Selain itu beberapa Exco Kerajaan Negeri dan ADUN yang dikatakan menyokong Mukhriz tidak hadir. Exco tersebut ialah Datuk Aminuddin Omar, Datuk Suraya Yaakob, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail dan Datuk Noor Sabrina Mohd.Noor.

Menurut sumber itu, kesemua pemimpin UMNO yang hadir sepakat meminta Perdana Menteri menyelesaikan isu tersebut dengan segera termasuk menghadap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah secepat mungkin.

“Dalam mesyuarat itu, Ahmad Bashah yang mewakili kepemimpinan UMNO Kedah menjelaskan apa yang berlaku dan mahu Perdana Menteri membuat perubahan terhadap kepemimpinan UMNO Kedah demi memastikan parti itu terus berkuasa,’’ katanya.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar bagi menggantikan Mukhriz, sumber itu berkata, setakat ini Ahmad Bashah merupakan calon utama dan pengumuman mengenai­nya akan dilakukan dalam tempoh sehari dua lagi.

“Ada pihak memaklumkan majlis angkat sumpah dijangka diadakan pada penghujung bulan ini di Istana Anak Bukit,’’ kata sumber tersebut.

Sementara itu di ALOR SETAR, sokongan terhadap Mukhriz dilihat semakin berkurangan apabila beberapa perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap kepemimpinan beliau semakin pudar.

Dalam masa sama, satu sumber memberitahu, Mukhriz juga menghadapi masalah dalam mendapatkan sokongan ADUN-ADUN jika beliau berhasrat membawa perkara itu ke dalam sidang DUN.

“Tetapi majoriti pemimpin UMNO Kedah mengharapkan tidak sampai pada tahap itu sebaliknya mereka menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Tambahan pula kecuali beberapa orang wakil rakyat, pemimpin UMNO lain kesemuanya sudah menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa mereka akan menyokong siapa sahaja yang dipilih menggantikan Mukhriz,’’ katanya.( Utusan online-politik).Posted by bnmulya //haji abu bakar ninggal. blogspot.com.at 2.08 am on January 23,2016.

Thursday, January 21, 2016

Najib jumpa pemimpin UMNO Kedah hari ini.

22 Januari 2016 12:04 AM 

ALOR SETAR 21 Jan. – Satu pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Ketua UMNO bahagian, wakil rakyat serta exco Kedah dijangka diadakan di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur esok.
Datuk Seri Najib

Menurut sumber, perjumpaan berkenaan dikatakan akan berlangsung pukul 4 petang sebagai susulan sidang akhbar UMNO Kedah yang melahirkan rasa hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir semalam.
“Tujuan pertemuan itu tidak dinyatakan namun dipercayai susulan sidang akhbar oleh Timbalan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah itu,’’ katanya di sini hari ini.
Akhbar hari ini menyiarkan majoriti kepemimpinan UMNO Kedah dan wakil rakyat negeri ini menyuarakan pendirian hilang kepercayaan ter­hadap Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri dan Menteri Besar.
Dalam sidang akhbar diketuai oleh Ahmad Bashah itu, beliau yang mewakili semua pemimpin berkenaan merayu agar Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO segera campur tangan dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.
Katanya, seluruh kepemimpinan negeri kini hilang kepercayaan kepada Menteri Besar ekoran beberapa kelemahan serta ketidakupayaan beliau memimpin parti dan mentadbir negeri ini (Utusan online0.Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 8.10 am on January 22,2016..

Ahmad Bashah MB Kedah?

ZULKIFLEE BAKAR 
DAN JAMLIAH ABDULLAH

 22 Januari 2016 1:26 AM 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kedudukan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dikatakan semakin jelas apabila Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah disebut-sebut bakal menggantikan beliau.

Ahmad Bashah

Ahmad Bashah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata dikatakan mendapat sokongan padu daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan sebahagian besar wakil rakyat negeri itu untuk dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.
‘‘Setakat ini boleh dikatakan sah, Ahmad Bashah akan menggantikan Mukhriz tetapi segala-galanya bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti. Tetapi apa yang pasti pemilihan Ahmad Bashah mendapat sokongan hampir seluruh pemimpin UMNO Kedah.
‘‘Tambahan pula, difahamkan beberapa pemimpin meletakkan syarat, kalau Mukhriz mahu ‘diturunkan’, beliau harus digantikan oleh Ahmad Bashah bukan calon lain,’’ kata satu sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Dikatakan juga pelantikan Ahmad Bashah dijangka dilakukan selewat-lewatnya akhir bulan ini dalam usaha pucuk pimpinan menyelesaikan segera kemelut politik UMNO Kedah yang tercetus berikutan tindakan pemimpin UMNO negeri itu semalam yang menyatakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz.
Sumber itu juga menjelaskan, Ahmad Bashah dilihat calon paling layak untuk menggantikan Mukhriz berikutan kedudukannya sebagai pemimpin paling kanan dan pernah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah sebelum ia diambil alih oleh Mukhriz.
‘‘Memang ada calon-calon lain disebut untuk menggantikan Mukhriz tetapi dari segi kelayakan, pengalaman dan hubungan di peringkat akar umbi, Ahmad Bashah dilihat ada kelebihan,’’ kata sumber itu.
Di ALOR SETAR, selain Ahmad Bashah, ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar turut dilaporkan antara tiga ‘Ahmad’ yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar baharu.
Ahmad Bashah yang juga Pengarah Pilihan Raya Umum Barisan Nasional Kedah pada 2013 ketika dihubungi memberitahu, masih terlalu awal untuk beliau memberi reaksi berhubung perkara tersebut.(Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 7.56 am on January 22,2016.

Wednesday, January 20, 2016

Permohonan Najib,Tengku Adnan, 1 MDB,SPR batal saman dibenarkan

21 Januari 2016 12:29 PM 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak dan tiga yang lain, hari ini berjaya membatalkan kes saman PKR terhadap mereka berhubung dakwaan, perbelanjaan berlebihan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 setelah Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan Perdana Menteri.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd. Zaki Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes tersebut.
Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sehubungan itu memohon kos sebanyak RM50,000.
Selain Najib dan Tengku Adnan, syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Develoment Bhd. (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dinamakan sebagai defendan pertama hingga keempat.
Pihak plaintif terdiri daripada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana sabitan kes liwat; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau Tian Chua; bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan ahli jawatankuasa PAN, Dr. Dzulkefly Ahmad.
Dalam pernyataan tuntutan, pihak plaintif mendakwa, Najib telah menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri selain bertindak secara korup dan menyalahi serta melanggar undang-undang.
Peguam Tommy Thomas mewakili pihak plaintif mencadangkan kos tidak melebihi RM10,000 bagi setiap plaintif.
1MDB dan SPR masing-masing memohon RM50,000.
Peguam-peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh dan Azizan Md. Arshad mewakili SPR memohon kos RM30,000.
Mohd. Zaki sehubungan itu menetapkan kos sebanyak RM15,000 kepada setiap defendan pertama dan kedua manakala SPR dan 1MDB mendapat RM10,000. -UTUSAN ONLINE( posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 1442 hrs on Janmuary 21,2016

Fiza sudah serik,enggan rujuk semula

TENGKU KHALIDAH 
TENGKU BIDIN< 21 Januari 2016 1:33 AM

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Pelakon Fiza Elite, 35, berikrar tidak akan kembali semula ke pangkuan bekas suaminya, Mohd. Aizam Mat Saman atau lebih dikenali sebagai Adam AF, 33.
Fiza Elite
Fiza Elite
Menurut Fiza, dia sudah serik untuk rujuk kembali dengan penyanyi kelahiran Akademi Fantasia itu setelah perkahwinan mereka melalui episod perceraian sebanyak dua kali sebelum ini.
“Jangan kaitkan saya dengan Adam lagi selepas ini. Cukuplah dua kali kami berkahwin, saya takkan kembali kepada dia lagi. Saya serik!,” jelas pelakon tersebut kepada Utusan Malaysia.
Menurut Fiza, Adam telah menceraikannya buat kali kedua pada 21 September lalu di rumah kelamin mereka di Gombak, Selangor. Perceraian kali itu telah disahkan oleh Mahkamah Syariah Shah Alam pada 28 Disember lalu.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 26 September 2013 dan bercerai kali pertama pada 28 April 2014 selepas hanya tujuh bulan mendirikan rumah tangga. Namun, selepas hampir tiga bulan bercerai, pasangan tersebut rujuk kembali pada 17 Julai 2014.
Menurut Fiza, rumah tangga mereka sebenarnya tidak pernah aman dalam jangka masa yang agak lama di mana mereka hanya tinggal sebumbung, tetapi berlainan bilik selama setahun.
“Sebenarnya, selepas kami rujuk semula pada Julai 2014, hanya dua bulan sahaja kami bahagia. Tiga bulan kemudian, keadaan kami kembali macam dulu juga, selalu bergaduh. Hidup terus bermasalah terutamanya apabila bercakap dalam soal kewangan rumah tangga.
“Saya tidak tahan lagi hidup sebegitu dan berpura-pura bahagia. Akhirnya saya buat keputusan yang kami tidak lagi boleh hidup bersama pada hujung tahun 2015 yang lalu,” beritahu Fiza.
Menurut anggota kumpulan Elite itu, dia reda dengan apa yang terjadi dan tidak akan sesekali berasa malu dengan status terkini.
Selepas bergelar janda juga, Fiza nekad untuk lebih aktif meneruskan aktiviti berlakon demi mencari sumber rezeki.
“Saya punya banyak tanggungjawab, termasuklah kepada keluarga. Saya perlu terus bekerja bagi menampung keperluan hidup dan keluarga. Saya harap kemunculan semula saya dalam dunia lakonan akan membawa rezeki yang baik selepas tidak lagi berhadapan dengan masalah peribadi seperti sebelum ini,” kata pelakon filem Anak Mami The Movie itu.(Utusan online).Posted by abnmulya  //haji abu bakar ninggal.blogspot.com.at 8.14 am on January 21,2016.

Umno Kedah tolak Mukhriz

Hilang kepercayaan kepada MB, Rayu PM campur tangan selesai kemelut parti 

JAMLIAH ABDULLAH 21 Januari 2016 1:33 AM 

AHMAD BASHAH MD HANIPAH (duduk, dua dari kiri) bersama pemimpin UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen Kedah bercakap dalam sidang akhbar tergempar menolak kepemimpinan Mukhriz Mahathir di Alor Setar, semalam. UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

ALOR SETAR 20 Jan. - Seluruh kepemimpinan UMNO Kedah dan wakil rakyat negeri ini hari ini menyuarakan pendirian hilang kepercayaan ter­hadap Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri dan Menteri Besar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, beliau yang mewakili semua pemimpin berkenaan merayu agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO segera campur tangan dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.
Katanya, seluruh kepemimpinan negeri kini hilang kepercayaan kepada Menteri Besar ekoran beberapa kelemahan serta ketidakupayaan beliau memimpin parti dan mentadbir negeri ini.
“Antaranya, kegagalan beliau (Mukhriz) dalam menyatupadukan pimpinan UMNO dan jentera parti di semua peringkat negeri. Kedua, kita dapati tiada sebarang perancangan strategik parti bagi parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hari semakin dekat. Tidak ada perancangan dari segi itu bagaimana hendak hadapi PRU.
“Ketiga, beliau juga gagal mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepemimpinan parti di negeri ini. Ini dirasai dan diluahkan di semua peringkat bahagian.
“Sebagai Menteri Besar beliau juga gagal mengurus tadbir kerajaan negeri secara berkesan, itu turut memberi kesan kepada parti. Kami merasakan banyak kelemahan di peringkat parti dan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam satu sidang akhbar tergempar di sini hari ini.
Sidang akhbar berkenaan yang diadakan kira-kira pukul 3.30 petang itu dihadiri 14 daripada 15 pemimpin bahagian negeri ini. Hadir sama, ketua sayap Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO negeri serta Ahli Parlimen UMNO negeri ini.
Turut serta dalam sidang akhbar yang berlangsung 15 minit itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Pertahanan selaku Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Mohd. Johari Baharom dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Mengulas lanjut kata Ahmad Bashah, UMNO Kedah merayu keprihatinan Perdana Menteri untuk membuat perubahan segera ke atas pimpinan tertinggi parti negeri dan Menteri Besar.
“Sebab itu, kami berhimpun untuk merayu dan membuat permohonan kepada Perdana Menteri untuk menukar Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah.
“Itu harapan kami dan keputusan ini dicapai secara bersama oleh semua kepimpinan parti ne­geri. Inilah suara kami dan rayu keprihatinan Perdana Menteri untuk buat segera keputusan demi masa depan rakyat dan parti untuk hadapi pilihan raya. Kami memohon agar Perdana Menteri lakukan sesuatu yang terbaik untuk negeri kita.
“Kami menyerah kepada budi bicara Perdana Menteri dan menyokong apa juga yang dilakukan oleh beliau," katanya.
Tambah beliau, tindakan segera itu perlu diambil demi menjaga parti dan rakyat negeri ini.
Sementara itu Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan berkata, keputusan secara bersama oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen UMNO Kedah tersebut dilakukan tanpa sebarang agenda peribadi.
“Kita berharap Perdana Menteri segera menyelesaikan kemelut parti ini dan apa yang dilakukan semata-mata demi kelangsungan UMNO Kedah dan rakyat," katanya yang kini berada di London kerana urusan kerja.( Utusan online).Posted by abnmulya // haji abu bakar ninggal.blogspot.com at 8.02 am on January 21,2016.