Fathul Bari Mat Jahya
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, masyarakat sepatutnya memahami terlebih dahulu isi kandungan perbincangan JPA dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Katanya, berdasarkan perbualan antara beliau dengan beberapa pegawai kementerian tersebut dan JPA, fokus perbincangan JPA dan kementerian berkenaan adalah penilaian semula kelayakan penerima biasiswa.
“Sebenarnya perbincangan itu bukan untuk memotong bajet biasiswa pelajar, sebaliknya penilaian semula kelayakan penerima daripada beberapa perspektif supaya dapat dioptimumkan kepada kumpulan sasar yang lebih tepat.
“Antara yang diteliti adalah pelajar-pelajar yang menerima biasiswa tetapi tidak menamatkan pengajiannya sama ada kerana gagal, malas atau sebab-sebab lain. Malah saya difahamkan tiada mekanisme yang jelas untuk menyelia situasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Fathul Bari, situasi itu menyebabkan pembiayaan pendidikan kerajaan itu sia-sia apabila penerima gagal memanfaatkan biasiswa tersebut dengan baik.
Katanya, penerima biasiswa dinasihatkan supaya bijak untuk menguruskan pembiayaan pendidikan itu kerana ia adalah wang negara.
“Jika kita mendesak kerajaan supaya menguruskan wang negara dengan baik, maka kita juga perlu muhasabah diri, adakah kita menguruskan wang negara yang diamanahkan kepada kita atas nama biasiswa dengan baik juga.
“Buat masa ini, kita berilah peluang kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, JPA dan beberapa institusi lain berbincang seterusnya menyelesaikan masalah itu agar memperoleh keputusan yang seimbang bagi menjaga kepentingan ekonomi negara dan ilmu,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan menggubal model baharu dalam pemberian biasiswa JPA dalam masa terdekat bagi mencegah penerima biasiswa mengelak untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.( utusan online).Posted by abnmulya // hj.abu bakar ninggal.blogspot.com.at 7.17am on January 23,2016