KUALA LUMPUR 26 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Badan
Peguam Malaysia tetap menjadi rakan penting dalam kedaulatan
undang-undang dan pentadbiran keadilan negara walaupun kerajaan tidak
semestinya sentiasa bersetuju dengan pandangan dan beberapa aktiviti
yang dijalankan badan itu.
Perdana Menteri berkata walaupun sesekali ada perbalahan atau
pertelingkahan dalam politik dan profesion undang-undang, kerajaan
masih mendengar apa yang diperkatakan badan itu dan memberi perhatian
kepada apa yang mereka lakukan.
"Kita mungkin adakalanya membuat lawak mengenai peguam, tapi mereka
bagaimanapun mempunyai peranan yang unik dan penting di negara ini,"
kata Najib pada Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia 2012,
di sini hari ini.
Bagaimanapun Najib berkata beliau sedar bahawa sesetengah pengamal
undang-undang, terutama mereka yang di dalam komuniti hak asasi manusia,
masih memilih untuk melihat dengan pandangan yang berbeza dari
perspektif berlainan, walaupun kemajuan dalam undang-undang secara
beransur-ansur telah diperkenal kerajaan sejak setahun lepas.
"Kepada mereka saya ingin katakan: Adalah lebih mudah untuk
meruntuhkan sesuatu daripada membinanya. Seperti Rom yang tidak
dibangunkan dalam sehari, pembinaan sebuah negara Malaysia yang adil,
saksama dan demokratik tidak boleh dicapai semalaman," katanya. -
BERNAMA.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at12.46 am
on Sepat.,27,2012.
No comments:
Post a Comment