PETALING JAYA 23 Sept. - Kerajaan negeri Selangor sengaja
mengelirukan orang ramai berhubung isu air di negeri ini demi memenuhi
agenda politiknya, tanpa menghiraukan kepentingan pengguna dan ekonomi,
kata seorang aktivis kepenggunaan terkenal hari ini.
Presidan Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA) Datuk Dr
Jacob George berkata maklum balas yang beliau terima menunjukkan bahawa
kebanyakan penduduk Selangor keliru tentang pihak manakah yang betul
dalam isu berkenaan.
Katanya dalam keadaan yang dibelenggu kekeliruan ini, kerajaan negeri
Selangor menimbulkan satu lagi perkara ke dalam isu ini - bahawa tarif
air akan naik sekiranya kerajaan persekutuan meneruskan rancangannya
untuk membina loji rawatan air Langat 2.
Dr George berkata beliau kesal apabila mendapati beberapa anggota
exco dalam kerajaan Selangor yang sebelum ini merupakan aktivis dalam
badan bukan kerajaan (NGO), melihat semua perkara secara negatif,
walaupun kerajaan persekutuan berniat baik dalam rancangannya untuk
memperbaiki keadaan di negara ini.
"Saya terlibat dengan pelbagai NGO selama 37 tahun. Saya dapat
melihat permainan mereka (dalam isu air), strategi mereka dan mereka
menimbulkan perkara yang tidak relevan, semata-mata untuk menyekat
langkah yang cuba dilaksanakan kerajaan persekutuan," katanya dalam temu
bual dengan Bernama.
Dr George mendakwa kerajaan negeri Selangor juga menyeret isu antara
pihaknya dengan Puncak Niaga Holdings Bhd ke dalam isu air di negeri
ini, sedangkan ia sepatutnya diselesaikan melalui platform lain.
Beliau berkata masa yang digunakan untuk melayan perkara yang tidak
relevan itu sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan krisis air yang
bakal melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kenapakah kerajaan negeri melakukan semua ini? Janganlah
mencampuradukkan semua ini dan meletakkannya ke dalam satu bakul. Ini
tidak betul. Ia melibatkan masa depan kami, bukan saja penduduk
Selangor, tetapi juga jiran kami (di Kuala Lumpur dan Putrajaya) kerana
ia (krisis air) akan memberi kesan serius," kata Dr George. - BERNAMA(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 2125 hrs on September 23,2012.
No comments:
Post a Comment