Oleh Md Izwan
September 23,2012./
KUALA LUMPUR, 23 Sept ― Tun Dr Mahathir Mohamad melabel orang Melayu yang
“tidak bersyukur” dan “kurang berilmu” akan mengakibatkan mereka
kehilangan kuasa memerintah jika Pakatan Rakyat (PR) memerintah kelak.
Mantan perdana menteri (PM) tersebut juga meluahkan rasa kesal
melihat bangsanya bergaduh sesama sendiri hanya kerana merebut kuasa.
"Saya rasa sedih melihat bangsa sendiri tidak tahu bersyukur, begitu
sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh
orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri,” kata Dr
Mahathir dalam Mingguan Malaysia, akhbar milik Umno.
Dalam artikelnya lagi, Dr Mahathir memberi peringatan kepada orang
Melayu agar tidak lupa diri hingga mereka dihina lagi seperti zaman
British dahulu.
“Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu.
“ Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak yang dinikmati
oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui kerajaan-kerajaan
Malaysia merdeka,” katanya.
Kemerdekaan negara dikecapi menurut Mahathir adalah hasil kekuatan
orang Melayu yang menyokong Umno dan rakannya dalam Perikatan.
Dr Mahathir (gambar) juga berkata perpecahan dikalangan orang Melayu ketika ini sangat membimbangkan.
“Sekarang orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain.
Beliau juga tidak menolak suatu hari nanti orang Melayu terpaksa mengikut telunjuk orang lain jika keadaan ini berterusan.
“Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya dan
mendirikan kerajaan, tak dapat tidak kerajaan ini akan terpaksa
mengikuti telunjuk orang lain.
“Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak kepada pemerintahan negara
yang mereka rela berkongsi dengan orang lain,” tambah Dr Mahathir lagi.
Dr Mahathir mendakwa negara tidak akan mencapai kemerdekaan pada 1957
jika parti serpihan daripada ulama dalam Umno menang pilihanraya
pertama semasa zaman Tunku Abdul Rahman.
“Kumpulan pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama
dalam Umno yang kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada
mereka dicalonkan oleh Tunku Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu
sahaja yang diberi kepada kumpulan ini.
“Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi, nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957,” kata Mahathir lagi.
Dr Mahathir berharap nasihat yang diberikannya menjadi panduan dan
iktibar kepada orang Melayu agar perkara sama tidak berulang semasa
zaman penjajahan.
“Bangsa saya jelas tidak dapat menangani kejayaan. Bangsa saya mudah lupa. Bangsa saya tidak tahu bersyukur.
“Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib yang menimpa
kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang
lain,” katanya.( The Malaysian Insider0.Posted by abnmulya at 2151 hrs on September 23,2012.
No comments:
Post a Comment