Thursday, September 27, 2012

Malaysia bakal catat lebih banyak terbitan instrumen Renminbi dalam pasaran bon dan sukuk.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata bahawa Malaysia akan mencatatkan lebih banyak terbitan instrumen dalam pasaran bon dan sukuk. — Gambar fail

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Lebih banyak terbitan instrumen dalam pasaran bon dan sukuk di Malaysia dijangkakan pada masa akan datang, memandangkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan syarikat tentang potensinya, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, di sini hari ini.

“Ya, memang ada banyak lagi dalam perancangan. Sekarang sudah ada kesedaran yang lebih tinggi tentang potensi mengumpul dana dalam nilai renminbi, terutamanya bagi pelaburan di China, kerana kegiatan pelaburan rentas sempadan dua hala berlaku di antara China dan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada seminar bertajuk “Pelunasan Perdagangan dan Pelaburan Renminbi di Malaysia serta Prospek Masa Depan”, di sini hari ini.

Ditanya sama ada terbitan-terbitan itu akan dilaksanakan tahun ini, beliau berkata ia bergantung kepada kelulusan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Tetapi, bagi syarikat-syarikat yang ingin mengumpul dana, mereka akan mengkaji perkembangan pasaran dari segi kesesuaian masa,” katanya.

Setakat ini, sudah ada dua terbitan sukuk luar pesisir dalam renminbi di luar Malaysia dan satu terbitan bon dalam renminbi oleh syarikat Malaysia.

Mengenai penggunaan yuan sebagai pelunasan perdagangan, Zeti berkata pengimport dan pengeksport Malaysia perlu mempunyai kesedaran yang lebih tinggi tentang kemudahan yang ada untuk menjalankan transaksi perdagangan dan pelaburan mereka dalam renminbi.

“Ini adalah sesuatu yang telah diperkenal dalam sistem kewangan kita sejak 2009 dan dilaksanakan beransur-ansur dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, kita menyaksikan pertumbuhan ketara,” katanya.
Zeti berkata pada masa ini, jumlah RMB180 bilion di bawah perjanjian Persetujuan Swap Mata Wang (CSA), mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran kewangan domestik dan bank pusat itu akan mengkajinya dari semasa ke semasa.

Pada awal 2009, Bank Negara Malaysia menandatangani perjanjian CSA dengan Bank Rakyat China, yang diperbaharu dalam tahun ini, dan jumlahnya dipinda daripada RMB80 bilion pada mulanya.

Mengenai satu perkara lain, Zeti berkata bank pusat itu berkemampuan untuk memantau semua aliran keluar masuk kewangan negara ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, selepas krisis kewangan, kita meningkatkan keupayaan pengawasan kita,” katanya.

Zeti berkata demikian bagi menjawab soalan tentang sama ada Bank Negara mempunyai kemampuan untuk memantau pengaliran masuk dana, termasuk dana asing ke dalam organisasi tempatan. — Bernama (The Malaysian Insidert).Posted by abnmulya at 12.12 am on Sept.,28,2012.

No comments: