Tuesday, September 25, 2012

Nasha gesa Guan Eng minta maaf kepada Nik Aziz .

Oleh Mohd Farhan Darwis

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Nasharuddin Mat Isa (gambar) hari ini menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya segera meminta maaf secara terbuka kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana mengeluarkan pendirian menolak pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Nasharuddin,yang merupakan bekas Timbalan Presiden PAS berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga perlu segera menarik balik kenyataannya kerana ia dilihat bercanggah dengan Nik Aziz yang sebelum menegaskan ‘hudud satu kewajipan bukan pilihan’.

 “Atas semangat Pakatan Rakyat (PR) seperti mana yang disebut, Lim Guan Eng perlu minta maaf kerana bagi PAS pendirian Tok Guru (Nik Aziz) perlu dihormati,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Walaupun sedar hudud tidak termasuk dalam polisi PR, ahli parlimen Bachok itu menegaskan kenyataan itu adalah satu campur tangan dalam asas perjuangan sesuatu organisasi.

“Kami hormati perbezaan pandangan, agama dan kepercayaan lain tapi isu sekarang ialah dia (Lim) secara konsisten mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan prinsip dan perjuangan asas PAS

 “Apa yang saya pertahankan ialah pendirian yang dimainkan oleh Lim dan Karpal yang secara konsisten menyerang isu keagamaan, saya sekadar nak pastikan semangat dalam Pakatan tidak rosak,” katanya merujuk kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Nasharuddin juga menegaskan tidak gentar sekiranya menghadapi tindakan daripada pemimpin tertinggi PR kerana berpegang kepada prinsip yang diperjuangkannya.

“Ini bukan isu dipecat ataupun tidak, ia hanya persoalan saya menyatakan pandangan dan kepercayaan saya,” katanya lagi.

Semalam, akhbar Umno, Utusan Malaysia melaporkan Lim mengambil pendirian sama dengan Karpal Singh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang menolak hudud atas alasan itu bukan dasar Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, Lim menyalahkan pihak media dengan mendakwa kemelut antara DAP dan PAS dalam isu berkenaan sengaja disensasikan.

“Dalam pakatan pembangkang, mana-mana parti boleh mempunyai pandangan yang berbeza tetapi hudud tidak berbangkit langsung sebagai dasar kita dan perkara itu jelas,” katanya dipetik dari Utusan Malaysia ( The Malaysian Insider).Posted by abnbmulya at 12.38 am on Septemebr 26,2012..

No comments: