Saturday, September 29, 2012

Noh Omar yakin BN menang 32 kerusi ADUN di Selangor

Oleh Nomy Nozwir
September 29, 2012

SELAYANG, 29 Sept – Datuk Seri Noh Omar(gambar kanan) yakin Barisan Nasional BN) akan menawan semula Selangor dengan memenangi 32 kerusi.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, masyarakat di Selangor mulai sedar bahawa Pakatan Rakyat (PR) tidak mampu memerintah negeri.

“Saya tidak mahu mendahului takdir, tetapi Insya-Allah saya yakin BN mampu kembali menawan Selangor, sekurang-kurangnya 32 buah kerusi,” katanya selepas merasmikan hari terbuka FAMA di sini hari ini.

Menurut Noh yang juga menteri pertanian, calon menteri besar adalah tidak penting, kerana kemenangan adalah menjadi perkara yang utama.

“Semasa tahun 2008, mereka (Pakatan) pun tak tahu siapa calon menteri besar untuk mereka, jadi adalah lebih baik untuk BN memberi fokus untuk kemenangan untuk menawan kembali Selangor,” katanya dalam temubual bersama The Malaysian Insider sebentar tadi.

Kerusi-kerusi di negeri Selangor dikatakan merupakan kerusi panas kerana negeri ini mempunyai pengundi baru yang ramai disamping merupakan negeri yang paling kaya dan maju di Malaysia.

Pada 8 Mac 2008, gabungan tiga parti iaitu PKR, Pas dan DAP memenangi 36 daripada 56 buah kerusi dewan undangan negeri Selangor, menewaskan kerajaan BN terdahulu dengan 20 buah kerusi.

Noh juga menolak kemungkinan beliau akan menjadi menteri besar Selangor walaupun desas desus mengatakan beliau dicalonkan sebagai jawatan tertinggi di negeri tersebut.

“Seperti yang saya katakan, saya tidak mahu mendahului takdir, saya masih lagi ahli parlimen Tanjung Karang, tetapi semuanya bergantung pada pucuk pimpinan.

“Yang penting kita gerakkan jentera parti untuk memenangi negeri ini, soal siapa menteri besar tidak penting,” katanya lagi.Bekas menteri besar, Datuk Seri Mohammad Khir Toyo juga menolak dari bertanding dalam pilihan raya akan datang, setelah mahkamah mendapati beliau bersalah dalam kes pecah amanah.(Malaysian Insider). Posted by abnmulya at 1734 hrs on Sept.,29,2012.

No comments: