Saturday, September 29, 2012

Rakyat berterima kasih


Datuk Seri Najib Tun Razak mengusap kepala seorang kanak-kanak yang dijulang oleh bapanya pada pada Program Jelajah Janji Ditepati di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Negeri Sembilan, semalam.- MINGGUAN/ MD.SHAHJEHAN MAAMIN.

 KUALA LUMPUR 29 Sept. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyifatkan Bajet 2013 kali ini adalah yang terbaik dan komprehensif kerana mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, Bajet 2013 memberi tumpuan kepada semua golongan terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Pemberian bantuan kepada golongan bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah menjadi antara contoh keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.

Bajet ini juga membuktikan kerajaan mengambil berat mengenai sektor pendidikan khususnya di kawasan luar bandar. Saya yakin rakyat sudah faham mengenai komitmen kerajaan yang sentiasa menepati janji," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tentang Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat semalam.

Bajet 2013 melibatkan peruntukkan berjumlah RM251.6 bilion iaitu meliputi RM201.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM49.7 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Dalam pada itu, Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berpendapat, bajet kali ini adalah sangat bertanggungjawab dan selaras dengan tema ‘Janji Ditepati’.

Saya agak terkejut apabila Perdana Menteri mengumumkan projek untuk mengindahkan Sungai Klang berjumlah RM500 juta sedangkan ia berada di bawah tanggungjawab kerajaan pembangkang.

Ini membuktikan kerajaan hari ini berjiwa besar untuk membangunkan negara. Saya pasti pihak pembangkang terpukul dengan bajet ini kerana ketika mereka terkial-kial mahu menunaikan janji pilihan raya umum lalu, kerajaan dengan segak dan bergaya telah melaksanakan apa yang dijanjikan sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, menurut Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah, Bajet 2013 dapat membantu golongan usahawan dan peniaga kecil khususnya menerusi skim perlindungan insurans berkelompok sehingga RM5,000 kepada golongan tersebut.

Kami yakin ia memberi banyak manfaat kepada mereka, cuma pelaksanaannya perlulah dipastikan menyeluruh," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim berkata, golongan belia merupakan antara kumpulan yang mendapat banyak manfaat daripada pembentangan bajet kali ini.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM738 juta untuk Kementerian Belia dan Sukan," katanya.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 10.27 am on Sept.,30,2012.

No comments: