Sunday, February 10, 2013

Konvoi tolak Ladang Rakyat

Oleh AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my
 Ibrahim Ali (kiri) mengibarkan bendera Perkasa tanda pelepasan 457 buah kenderaan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. - Utusan/Rosni Masri 

GUA MUSANG 8 Feb. - Buat kali pertama dalam sejarah negeri ini apabila sebanyak 457 buah kenderaan berkonvoi lebih 600 kilometer (km) untuk menyatakan bantahan terhadap kerajaan Pas Kelantan dalam isu pengambilan tanah terutama membabitkan program Ladang Rakyat di kawasan Hulu Kelantan.

Konvoi Tolak Ladang Rakyat yang diketuai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali itu turut disertai lebih 1,600 orang yang kebanyakannya dari utara Kelantan terutama Kota Bharu.

Yang turut hadir Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Azmi Ali; Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad dan Presiden Profesional Kelantan (KelPro), Nor Azli Ahamed.

Rombongan tersebut turut singgah di jalan masuk sebuah ladang yang dikatakan milik dua pemimpin DAP, Datuk Ngeh Khoo Ham dan Nga Kor Ming di Perasu dekat sini untuk meletakkan bendera Malaysia serta papan tanda.

Kemudian mereka singgah untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Muhammad Fa-iz Petra sebelum berkumpul di Kampung Lalang, Kuala Betis untuk acara kemuncak yang dihadiri hampir 3,000 orang termasuk masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Ibrahim yang ditemui di Kampung Lalang berkata, isu pengambilan tanah untuk membangunkan projek Ladang Rakyat bukan perkara baharu, tetapi kerajaan Pas Kelantan seperti memekakkan telinga biarpun rakyat merintih dan mengadakan berpuluh-puluh demonstrasi untuk membantah tindakan itu.

“Cerita kerajaan Pas Kelantan ‘rampas’ tanah dan serah kepada Ladang Rakyat serta gadai kepada syarikat luar ini bukan satu fitnah atau rekaan. “Hari ini, Perkasa membawa rakyat dari kawasan lain untuk melihat sendiri.

Cerita ini sudah lama dan keadaan itu sudah memuncak pada hari ini kerana rakyat ditindas selepas keringat mereka selama berpuluh tahun meneroka tanah ‘dirampas’ untuk Ladang Rakyat. “Sebagai contoh, hari ini ada 19 keluarga datang bertemu saya dan meluahkan bagaimana tanah yang mereka terokai sejak sekian lama dan telah membayar deposit sebanyak RM1,900 tetapi hari ini mereka lihat kawasan itu sudah bersih dicuci untuk Ladang Rakyat," katanya.

Beliau berkata, biarpun kerajaan Pas Kelantan sering menegaskan bahawa tanah tersebut tidak dijual, tetapi telah dipajak untuk tempoh berpuluh tahun, malah mencecah 99 tahun. Katanya, dalam tempoh tersebut, kerajaan atau rakyat negeri ini telah kehilangan hak ke atas tanah berkenaan dan mengakibatkan kerugian yang amat besar. “

Saya ada laporan tentang senarai syarikat yang memiliki tanah di Ladang Rakyat, mereka mempunyai hak yang lama, berpuluh-puluh tahun termasuk Upayapadu Sdn. Bhd. yang dimiliki Khoo Ham dan Kor Ming. “Kita telah membuat semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk semua syarikat ini dan mendapati dalam lembaga pengarah tidak ada seorang pun bumiputera, apatah lagi rakyat Kelantan.

“Tanah ini adalah rizab Melayu sebenarnya tetapi digadai. Jawapan anggota Exco, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah kata dia (kerajaan Pas Kelantan), kita tidak jual (tanah) tetapi digadai selama berpuluh tahun, apakah kita masih mempunyai hak ke atas ini?" soalnya.

 Katanya, rakyat telah membanting tulang dan mereka harus bersatu kerana tidak ada cara lain untuk menyelesaikan isu kecuali menukar kerajaan Pas Kelantan.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 12.43 am on February 11,2013.

No comments: