Sunday, March 24, 2013

Beri Najaib peluang ,kata bekas Menteri Kewangan

Oleh Mohd Farhan Darwis 
March 24, 2013
Daim turut menegaskan kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat bahawa mereka serius dalam membanteras rasuah. – Gambar fail

KUALA LUMPUR, 24 Mac — Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu merombak barisan Kabinetnya dan menggantikan muka baru kerana kebanyakan pemimpin dalam Kabinet yang diterimanya daripada bekas perdana menteri sebelum itu telah melepasi tempoh perkhidmatan mereka.

“Najib perlu merombak Kabinet, bawa masuk muka baru. Orang rasa beliau membawa beban yang besar dalam Kabinetnya. Kebanyakan mereka telah melepasi tempoh perkhidmatan,” kata Daim dipetik akhbar The Sunday Times hari ini.

Daim juga turut berkata Najib perlu diberikan peluang dan tempoh lima tahun pemerintahannya adalah ujian dan beliau harus diberikan mandat.

“Biar beliau laksanakan dan meneruskan polisi transformasinya,” kata Daim lagi dipetik akhbar berbahasa Inggeris berkenaan.

Daim turut berkata beliau lebih percayakan Najib berbanding ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Anwar jelasnya bukanlah calon yang layak untuk menjadi perdana menteri.

“Saya mahu Najib menang kerana Anwar bukanlah calon yang layak menjadi perdana menteri. Saya percaya beliau (Anwar) akan menghuru-harakan negara dengan menerima nasihat daripada IMF (Tabung Kewangan Dunia), Bank Dunia, dan Wolfowitz, (bekas Presiden Bank Dunia Paul Wolfowitz),” katanya lagi.

Najib bagaimanapun jelas Daim perlu menentang gejala rasuah dan jenayah serta mengukuhkan keselamatan negara termasuk semakan terhadap sistem pendidikan negara.

“Tanpa bahasa Inggeris, kita tidak mampu bersaing, terutamanya Melayu. Melayu perlu sedar, tanpa bahasa Inggeris, mereka tidak akan mempu bersaing, bahasa Inggeris perlu jadi bahasa kedua,” katanya.

Jelasnya lagi, penukaran medium daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu bukanlah satu kesalahan kerana ia merupakan lingua franca, namun polisi mempromosikan bahasa Melayu yang mempunyai kelemahannya.

“Kita tidak perlu menghapuskan bahasa Inggeris semata-mata untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca,” katanya dan menambah, bahasa Arab juga seharusnya dikuasai kerana “duit itu datang dari negara Arab yang kaya-raya.

Daim turut menegaskan kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat bahawa mereka serius dalam membanteras rasuah, namun mereka juga perlu mendapatkan bantuan rakyat.

“Kerajaan sendiri tidak akan mampu menghapuskan gejala rasuah, tingkatkan kesedaraan rakyat dan libatkan sekolah. Ia adalah perkara dua hala.

“Rakyat juga perlu bebas rasuah, dan tidak sekadar salahkan kerajaan. Jika rakyat jujur dan bersih, kerajaan juga akan bersih,” katanya lagi.(The Malaysian Insider0.Posted by abnmulya at 12.58 am on March 25,2013.

No comments: