Saturday, April 13, 2013

Wakil DAP jumpa ROS 18 April ini.

PULAU PINANG 13 April - Pengerusi DAP, Karpal Singh mengesahkan dua ahlinya telah menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membantu siasatan berhubung kesilapan yang berlaku dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu pada tahun lalu.
Pengerusi DAP, Karpal Singh

Menurutnya, dua individu berkenaan ialah Pengarah Pilihan Raya DAP, Pooi Weng Keong dan ahli jawatankuasa pemilihan tersebut, Dr. Ong Kian Meng.

"DAP telah diminta untuk menyediakan beberapa dokumen berkaitan dengan pemilihan parti oleh ROS termasuk notis yang dihantar kepada perwakilan.

"Mereka akan berjumpa ROS 18 April dan keadaan ini sedikit sukar kerana hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan berlangsung 20 April," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, beliau percaya penyiasatan kes tersebut akan mengambil masa yang lama. Isu pemilihan CEC parti berkenaan pada tahun lalu menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan oleh ahlinya sendiri apabila DAP dikatakan gagal memberikan notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah dan layak mengundi pada hari tersebut.

Ekoran tidak berpuas hati, ahlinya termasuk Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Negeri Sembilan, David Dass Aseerpatham membuat laporan kepada ROS meminta perkara itu disiasat kerana mendakwa tidak mengikut Perlembagaan parti dan sekali gus mendakwa keputusan CEC itu tidak sah.

Mengulas lanjut, Karpal mengakui terdapat masalah teknikal pada pemilihan parti itu tetapi tidak ada penipuan seperti dakwaan pihak tertentu termasuk bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Katanya, jika DAP dibatalkan pendaftaran, tindakan itu merupakan perkara yang serius. "Saya tidak menafikan ROS mempunyai kuasa untuk membatalkan pendaftaran DAP tetapi keputusan itu hanya boleh dilakukan selepas siasatan secara mendalam dan bukti yang kukuh," katanya.

Sehubungan itu, Karpal meminta DAP dibenarkan untuk menggunakan simbol mereka sendiri pada pilihan raya umum nanti kerana beranggapan adalah mustahil untuk mendapat keputusan sebelum 20 April kerana siasatan hanya bermula pada 18 April.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 11.57 am on April14,2013.



No comments: