Sunday, May 26, 2013

Hak Bebas Bersuara tidak beri kuasa sebar fitnah,hasutan


Penganalisa Jenayah,Kamal Affendi Hashim

KUALA LUMPUR 26 Mei - Hak kebebasan bersuara tidak memberi kuasa mutlak kepada mana-mana pihak untuk menyebar fitnah dan hasutan menerusi media sosial yang mampu menggugat kestabilan negara.

Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim berkata, ramai yang tidak memahami bahawa hak kebebasan bersuara masih mempunyai had serta peraturan yang harus dipatuhi dalam usaha menjaga keselamatan serta keamanan rakyat.

Beliau berkata, penyebaran maklumat dalam dunia siber seharusnya dikawal ketat dan dipantau undang-undang untuk mengelakkan kes fitnah dan hasutan daripada terus berleluasa.

''Usaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat digalakkan kerana tindakan itu secara tidak langsung mampu mendisiplinkan masyarakat daripada terus terjebak dalam jenayah siber ini.

 ''Dalam pada itu, semua pihak perlu bertanggungjawab dan berhati-hati dengan maklumat palsu disebarkan supaya tidak timbul ancaman terhadap keselamatan rakyat serta negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kementeriannya akan membanteras penyebaran maklumat dalam media sosial yang menyentuh isu perkauman, mencabar Perlembagaan serta fitnah khususnya didalangi tentera siber DAP iaitu Red Bean Army.

Katanya, KDN bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan CyberSecurity Malaysia akan mencari jalan bagi memastikan maklumat disalurkan menerusi blog, Facebook atau Twitter adalah benar.

Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri menegaskan, penjenayah siber yang menghasut rakyat membenci kerajaan dan negara sepatutnya dibawa terus ke muka pengadilan.

''Dalang tersebut menyalahgunakan kemudahan multimedia untuk mempengaruhi minda rakyat dengan maklumat palsu, tindakan ini jelas melanggar undang-undang,'' katanya. Sehubungan itu, katanya,

KDN perlu memberi amaran kepada penjenayah siber berhenti daripada menyebarkan maklumat palsu dan hasutan kerana ini memudaratkan negara.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 10.13 am on Mei 27,2013.


No comments: