Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my
PULAU PINANG 20 Mei - Kerajaan disaran menubuhkan badan khas bagi mengumpul tesis para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk mengkaji pemikiran golongan muda.
Menerusi kajian tersebut, kerajaan boleh melihat kemahuan golongan tersebut dan bagaimana pemimpin negara boleh merancang untuk masa depan mereka.
Setiausaha Agung 1Malaysia Brothers (1MB), Zainuddin Jaafar berkata, daripada tesis tersebut juga kerajaan boleh membentuk pelapis pemimpin negara.
"Kebanyakan tesis yang dihasilkan akan berkubur begitu sahaja di universiti tetapi tidak dalam otak pemikiran para pelajar ini.
"Kalau nak lihat apa yang akan berlaku kepada negara dalam tempoh 10 tahun akan datang, lihatlah tesis para pelajar IPT," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam beberapa perhimpunan haram bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 anjuran parti pembangkang baru-baru ini, golongan muda berketurunan Cina dilihat paling aktif mengambil bahagian.
Di Stadium Batu Kawan di sini pada 11 Mei lalu, kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan peserta yang hadir merupakan golongan muda.
Golongan berkenaan hadir dengan memakai baju hitam sebagaimana diarahkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada perhimpunan sama di Stadium Kelana Jaya, puluhan ribu anak muda kaum Cina membanjiri stadium tersebut sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang amat teruk.
Zainuddin menambah, kaedah mengkaji tesis juga boleh digunakan oleh kerajaan sebagai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) khususnya bagi menambat sokongan pengundi muda.
Menurutnya, berdasarkan kajian rambang 1MB, kebanyakan anak muda berusia 25 tahun ke bawah khususnya kaum Cina lebih cenderung menyokong pembangkang terutama DAP.
Jelas beliau, kebanyakan mereka telah ditanam dengan doktrin pembangkang sejak di bangku sekolah dan diperluaskan oleh pengaruh luar apabila menjejaki universiti terutama di luar negara.(Utusan online-dalam negeri)(.Posted by abnmulya at 12.49 am on Mei 21,2013.
No comments:
Post a Comment