Friday, May 3, 2013

Mahkamah: Artikel disiar berniat baik

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES 
pengarang@utusan.com.my 
NUR MAISURI
 KUALA LUMPUR 2 Mei - Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan Melayu) menegaskan, dua artikel berhubung pencerobohan rakyat asing di Lahad Datu, Sabah, disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia dengan niat baik bagi memberi informasi terkini dan kemungkinan penglibatan Ketua Pembangkang, dalam isu tersebut.

Sebagai penerbit akhbar arus perdana, Utusan Melayu menafikan tujuan berbuat demikian berunsur niat jahat seperti yang sering kali didakwa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam semua kes samannya terhadap syarikat akhbar itu.

Utusan Melayu juga menyatakan, 'perkataan fitnah' yang didakwa oleh Anwar sekiranya ada, dilakukan dengan niat baik dan berlandaskan kepentingan awam.


Menurut syarikat akhbar tersebut, perkataan yang didakwa memfitnah itu juga jika ada, diterbitkan di bawah pembelaan perlindungan bersyarat dan ada kewajaran untuk disiarkan kerana mempunyai tanggungjawab dari segi moral dan undang-undang selain merupakan ulasan yang saksama.

Utusan Melayu juga percaya Anwar mempunyai kaitan dengan pencerobohan tersebut memandangkan terdapat laporan media asing, Reuters yang memetik kenyataan pegawai tentera Filipina bahawa pengikut Sultan Sulu mengesahkan mereka diundang ke Sabah oleh seorang ahli politik parti pembangkang.

Perkara tersebut antara yang terkandung dalam pernyataan pembelaan Utusan Melayu bertarikh 12 April lalu yang difailkan di Mahkamah Tinggi di sini bagi menjawab dakwaan Ketua Pembangkang terbabit dalam saman fitnah beliau terhadap syarikat akhbar itu dan empat yang lain.

Utusan Melayu selain itu menyatakan, terdapat juga laporan media Filipina, Inquirer yang dibuat berdasarkan perisikan Filipina tentang seorang ahli politik yang mempunyai kaitan dengan Anwar telah bertemu dengan penceroboh Lahad Datu.

Syarikat akhbar tersebut juga mendakwa, berdasarkan sumber perisikan Malaysia dan Filipina, Anwar telah beberapa kali bertemu dengan bekas Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari sebelum kejadian pencerobohan tersebut.

Sehubungan itu, Utusan Melayu yang diwakili firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak memohon supaya tuntutan saman Anwar itu ditolak dengan kos.

Pada 8 Mac lalu, Anwar, 65, selaku pihak plaintif memfailkan saman terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan pertama dan kedua.

Beliau turut menamakan Sistem Televisyen Malaysia Bhd. (TV3), Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd., Datuk Shaharudin Abd. Latif; dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng, sebagai defendan ketiga hingga kelima.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar menyatakan, Utusan Malaysia bertarikh 2 Mac lalu di muka hadapannya, menyiarkan artikel bertajuk 'Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?' dan di muka surat sembilan pula bertajuk, 'Tiga kumpulan jadi dalang'.

Anwar menyatakan, defendan ketiga hingga kelima, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama, TV3 turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu.

Dakwa beliau, perkataan yang disiarkan itu berunsur fitnah dan membawa maksud antaranya beliau seorang pemimpin yang mengancam keselamatan negara dan bersekongkol dengan musuh negara dan berperang dengan negara, pembelot negara selain melibatkan diri dalam aktiviti keganasan.

Plaintif yang mendakwa perkataan tersebut tidak berasas, berniat jahat merosakkan reputasinya sehubungan itu menuntut ganti rugi am RM100 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan selain memohon perintah injunksi.

Sementara itu, TV3 yang diwakili peguam Wee Jason turut memohon agar tuntutan saman Anwar ditolak dengan kos dengan alasan pernyataan yang disiarkan merupakan komen yang adil dalam perkara berkepentingan umum tanpa sebarang niat jahat.

TV3 menegaskan, keseluruhan berita tersebut diterbitkan oleh defendan pertama mengandungi ekspresi pendapat yang diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk sumber perisikan Filipina, Manila Times dan Reuters.


Pada prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Rosilah Yop hari ini, Wee memberitahu pemberita, saman itu akan dibicarakan selama tiga hari bermula 9 Disember depan.

Menurut Wee, plaintif yang diwakili peguam Michelle Yesudas berjaya mendapatkan lanjutan masa sehingga 14 Mei ini untuk memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan yang telah dikemukakan oleh pihak defendan.(Utusan online-Mahkamah).Posted by abnmulya at 2255 hrs on Mei,03,2013).

No comments: