Wednesday, May 8, 2013

Najib masih pemimpin terbaik untuk terajui Malaysia,kata Tun Abdullah

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR, 8 Mei — Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata pengganti beliau Datuk Seri Najib Tun Razak masih menjadi pemimpin terbaik untuk menerajui negara selepas pilihan raya umum.

Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau memberikan sokongan penuh kepada Najib dan berharap perdana menteri akan meneruskan agenda transformasi beliau.

"Rakyat Malaysia telah memberikan isyarat jelas yang mereka mahukan perubahan dan Najib perlu respons kepada itu dengan mempergiatkan lagi program transformasi beliau untuk menangani isu seperti rasuah, jenayah dan kos hidup.
Tun Abdullah Ahmad Badawi

"Saya percaya beliau sudah mempunyai strategi-strategi untuk melakukan penambahbaikan dalam bidang-bidang berkenaan," kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataan hari ini. Abdullah kini berada di Bahrain untuk menghadiri mesyuarat tahunan ke-31 Majlis Antara Tindakan.

Najib yang mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Abdullah pada 3 April 2009, mendapat mandat baharu apabila Barisan Nasional (BN) memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Ahad lepas untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Dua hari lepas, Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara di sini.

Abdullah juga menggesa perpaduan dan penyatuan nasional, menyatakan tidak sepatutnya wujud sebarang cubaan untuk menjadikan keputusan pilihan raya sebagai isu perkaumnan dengan menyalahkan kaum tertentu kerana tindakan seumpama itu adalah tidak adil dan tidak membantu.

Pada masa yang sama, beliau menggesa pembangkang untuk menerima dan menghormati keputusan pilihan raya.

"Rakyat Malaysia memerlukan kestabilan dan jaminan yang hanya dapat dicapai apabila bab(isu) mengenai pilihan raya umum ini dimuktamadkan dan ditutup. Mari kita teruskan kehidupan demi kepentingan semua rakyat Malaysia," katanya. — Bernama  (POSTED BY ABNMULYA AT 4.44 AM ON MEI 09,2013)

No comments: