Wednesday, May 8, 2013

Kerajaan perlu tegas membanteras gerakan perkauman melampau-Rahim Tamby Chik


Tan Sri Rahim Tamby Chik Ahli Majlis Tertinggi Umno

JOHOR BAHRU 8 Mei - Kerajaan baharu yang bakal ditubuhkan selepas pembentukan Kabinet perlu lebih tegas bagi membanteras gerakan perkauman melampau yang semakin menular sejak kebelakangan ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, masyarakat kini mahu melihat sebuah kerajaan yang mampu mengambil tindakan segera terhadap gerakan itu kerana boleh membawa bencana kepada negara.

Menurutnya, senario politik bersandarkan perkauman melampau mungkin bergerak dengan sokongan luar yang ingin melihat Malaysia gagal dan menerima nasib sama seperti negara-negara Afrika, Asia Barat serta Amerika Latin yang sentiasa bergolak.

"Kerajaan yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu lebih tegas, keras tetapi waras dan tidak berkompromi dengan golongan yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan nama demokrasi untuk menerajui agenda peribadi masing-masing.

"Rakyat mahu melihat kerajaan yang mampu bertindak terhadap golongan seperti ini tidak mengira sama ada melibatkan organisasi atau individu berdasarkan asas kedaulatan undang-undang yang diamalkan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tuisyen Desa peringkat negeri di Pejabat RISDA, di sini hari ini.

Abdul Rahim yang juga Pengerusi RISDA turut menggesa sistem penguatkuasaan, perundangan serta kehakiman diperkasa supaya tindakan segera dapat diambil terhadap gerakan-gerakan ekstrem itu.

Tambahnya, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilihat tidak akan menjejaskan sistem perundangan negara sambil menyifatkan Malaysia mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk membanteras gerakan seumpama itu.

Beliau turut mencadangkan sistem perundangan serta penguatkuasaan terus diperkasa supaya gerakan tidak baik ini dapat dihapuskan.

 "Pejabat Peguam Negara mesti mengambil tindakan segera dengan membawa kes-kes seperti ini ke mahkamah untuk diputuskan dan hukuman setimpal diberikan.

"Kita tidak mahu dalam keadaan panas seperti ini, tindakan yang mahu diambil terlalu lama akibat penyiasatan yang panjang, pendakwaan tidak dapat merumuskan kes dengan berkesan kerana akan memberi impak kurang baik terhadap keselamatan negara," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahim yang juga bekas Ketua Menteri Melaka menyifatkan, gagasan 1Malaysia yang dibawa Najib diterima baik secara keseluruhannya kerana Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk sebuah kerajaan meskipun dengan majoriti mudah.

Beliau berkata, gerakan kesederhanaan yang dibawa menerusi gagasan itu perlu diteruskan bagi membanteras gerakan perkauman melampau daripada terus menular.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 4.00 on Mei 09,2013.



No comments: