Wednesday, May 8, 2013

Perpaduan Melayu amat penting

 Oleh HUSSAINI AMRAN
 pengarang@utusan.com.my 
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya


KUALA LUMPUR 8 Mei - Pemimpin-pemimpin politik Melayu yang berbeza ideologi perlu sedar bahawa kesucian Islam hanya boleh dijamin menerusi perpaduan orang Melayu.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, gejala perpecahan yang melanda orang Melayu mesti ditangani selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berakhir.

Menurut beliau, kegagalan orang Melayu bersatu padu menyebabkan pihak-pihak tertentu bersikap celupar sehingga berani menyentuh soal berkaitan Islam.

"Sekiranya Pas boleh menerima sikap cauvinis DAP yang menyinggung sensitiviti umat Islam, mengapa pula mereka tidak boleh bekerjasama dengan UMNO yang menjaga kepentingan bangsa?

"Kita seharusnya bermuhasabah diri dan saling bermaaf-maafan agar agenda perpaduan Melayu dan Islam menjadi realiti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fathul Bari mengulas gesaan pelbagai pihak yang meminta Pas dan UMNO bersatu demi memperkasakan agama dan bangsa yang berpecah-belah akibat perbezaan ideologi politik.

Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah memberitahu, institusi masjid hendaklah memainkan peranan penting dalam menyatupadukan ummah.

Jelas beliau, parti-parti Melayu dan Islam yang memenangi pilihan raya umum lalu sewajarnya menganjurkan majlis-majlis kesyukuran di masjid.

"Pemimpin-pemimpin parti juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pengikut mereka dengan mengimarahkan masjid.

"Aktiviti dakwah seperti ceramah juga hendaklah disuburkan dan pihak berkuasa agama diminta tidak memilih bulu apabila mempertimbangkan pemberian tauliah kepada pendakwah," ujarnya.

Kata Md. Daud, parti-parti politik Melayu dan Islam juga sewajarnya berhenti mempersoalkan pihak mana yang paling banyak membina masjid atau golongan yang selalu mengimarahkan masjid kerana usaha mengembangkan syiar Islam sepatutnya dilakukan secara ikhlas.(Utusan Online-politik).Posted by abnmulya at 3.47 am on Mei 09,2013.

No comments: