Thursday, June 6, 2013

29 qari,qariah sertai tilawah al-Quran 10-14 Jun

PUTRAJAYA 6 Jun - Seramai 29 qari dan qariah termasuk johan menunggu Qariah akan menyertai Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-56 dari 10 hingga 14 Jun di Dewan Besar Balai Islam, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, Kota Bharu Kelantan.
Gambar hiasan,Qari masa lalu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan majlis Tilawah al-Quran itu yang bertema 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah"'pada 10 Jun.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, johan qari dan qariah akan menerima wang tunai RM15,000, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.

 "Pada tahun ini, johan qari dan qariah masing-masing akan menerima sebuah kereta Proton Preve tajaan Tabung Haji," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, johan qari dan qariah akan mewakili Malaysia ke Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa yang berlangsung dari 29 Jun hingga 6 Julai ini. Bagi naib johan, Othman berkata qari dan qariah akan menerima wang tunai RM10,000, cenderamata dan sijil penyertaan manakala bagi tempat ketiga pula, qari dan qariah akan menerima wang tunai RM7,000, cenderamata dan sijil penyertaan.
Gambar hiasan,Qariah  masa lalu

Selain itu, beliau berkata, hadiah saguhati berupa wang tunai RM3,000, cenderamata dan sijil penyertaan akan diberi kepada semua peserta.

 "Perasmian penutupan dan penyampaian hadiah akan disempurnakan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V," katanya.

 Beliau berkata, penganjuran majlis Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan secara tahunan menunjukkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya minat terhadap al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa menerusi amalan kehidupan seharian.

Othman berkata, pelbagai acara selingan diatur bagi memeriahkan majlis tilawah kali ini antaranya persembahan nasyid, seminar, kuiz al-Quran dan pameran. Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir ke majlis Tilawah itu untuk menghayati bacaan ayat suci al-Quran oleh qari dan qariah dari seluruh Malaysia mulai 8.30 malam hingga 11 malam, 10 hingga 14 Jun ini.

Selain itu, majlis tilawah itu juga boleh ditonton secara langsung di TV1 atau melalui web TV Jakim dengan melayari laman web www.islam.gov.my. - BERNAMA (Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 2043 hrs on JUne 06,2013.

No comments: