Thursday, June 20, 2013

Ahli PAS perlu utamakan keselamatan negara



Mohamamed Hafiz Mohamed Nordin,Aktivis
KUALA LUMPUR 20 Jun - Pas serta seluruh ahli parti itu mesti meletakkan keselamatan negara mengatasi segalanya termasuk dalam soal remeh seperti menjaga hati Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menolak perhimpunan haram anjuran pembangkang di Padang Merbok, Sabtu ini.

Aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, berdasarkan maklumat terkini motif sebenar perhimpunan haram tersebut adalah bertujuan menggulingkan kerajaan yang dipilih secara sah dalam pilihan raya umum lalu dengan cara kekerasan dan ia haram disokong.

"Satu ketetapan jelas dan berani perlu dibuat dengan meletakkan kepentingan negara di atas. Jangan kita sekadar buat kenyataan selamat. Sekarang ini Pas nak jaga siapa? Pas nak jaga keselamatan negara, agama, rakyat atau perkara remeh seperti hubungan sesama pakatan?

"Apa baik sangat yang Pas peroleh daripada hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sampai dalam soal keselamatan negara pun masih kita hendak bermain politik demi kepentingan seorang individu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang berkata demikian sebagai mengulas kedegilan pembangkang untuk terus melakukan perhimpunan haram bertujuan menggulingkan kerajaan di Padang Merbok, walaupun tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Mengulas lanjut, Mohamed Hafiz berkata, beliau kesal dengan sikap segelintir pemimpin Pas yang tidak lagi mempedulikan untung nasib bangsa dan negara, sebaliknya sanggup menyeru orang Melayu turun ke jalanan bagi menggulingkan kerajaan walaupun ketika ini Islam ditekan.

"Kepada pemimpin Pas begini, nasihat saya bertaubatlah. Kalau pun tidak sanggup nak jaga kepentingan ahli Pas, fikirlah nasib orang Melayu dan umat Islam keseluruhannya. Terimalah qada dan qadar, kekalahan pembangkang adalah ketentuan Allah," katanya.


Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Taha pula berkata, penganjuran perhimpunan haram Sabtu ini bukan untuk mencari penyelesaian tetapi semata-mata demi memenuhi nafsu politik Anwar yang terlalu kemaruk mahu menjadi Perdana Menteri.

Beliau sendiri mengakui menerima arahan menerusi sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai pergerakan serta provokasi yang perlu dilakukan penyokong pembangkang dan ia bukti jelas bahawa perhimpunan tersebut bermatlamat untuk mencetus suasana huru-hara.

"Sebab itu saya harap kepada Pas yang masih saya anggotai dan umat Islam keseluruhannya agar memandang secara jauh. Keamanan dan kestabilan ini kita bina berpuluh tahun lamanya tetapi untuk hancurkan ia cukup dalam masa sesaat. Jangan gadai kerana politik," jelasnya.

Beliau seterusnya mengingatkan seluruh pemimpin serta ahli Pas agar kembali kepada manhaj perjuangan sebenar parti itu iaitu untuk menegakkan dasar-dasar Islam dan bukannya membiarkan diri mereka diperalat oleh Anwar sehingga menggadai keselamatan negara.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 10.15 am on June ,21,2013.

No comments: