Thursday, June 20, 2013

Sikap hipokrit,dua alam Anwar perbodoh penyokong

KUALA LUMPUR 20 Jun - Sikap hipokrit Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengajak rakyat menyertai perhimpunan di ibu kota Sabtu ini bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu seolah-olah cuba memperbodohkan para penyokong pembangkang.
Datuk Zulkifli Noordin

Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin berkata, ini kerana Anwar secara jelas mengiktiraf keputusan PRU-13 apabila mengakui beliau serta 88 ahli Parlimen pembangkang lain akan mengangkat sumpah pada hari pertama sidang Dewan Rakyat Isnin ini.

Katanya, sikap hipokrit atau ditafsir beliau sebagai 'amalan politik dua alam' Anwar itu amat mengecewakan sedangkan sebelum ini pemimpin pembangkang itu heboh dengan ura-ura mempertimbangkan untuk memboikot majlis angkat sumpah berkenaan.

"Jadi kenapa Anwar mahu pula mengangkat sumpah bersama Ahli Parlimen pembangkang lain Isnin ini jika benar tuduhan beliau mengatakan PRU-13 penuh dengan penipuan seperti dihebohkannya ke serata dunia. 

"Masyarakat terutama para penyokong pembangkang perlu membuka mata dengan amalan politik hipokrit dua alam Anwar ini yang tidak mengiktiraf kemenangan BN tetapi pada masa sama bersetuju pula menerima jawatan Ahli Parlimen bermula Isnin ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas keputusan Anwar bersama 88 Ahli Parlimen pembangkang untuk menyertai majlis angkat sumpah sidang Dewan Rakyat, Isnin ini. Semalam, bekas sahabat karib Anwar, Datuk S. Nallakaruppan mendakwa keputusan Anwar mengubah pendiriannya itu kerana beliau gagal mendapat sokongan Pas dan DAP untuk memboikot majlis tersebut.

Zulkifli yang juga bekas pemimpin PKR berkata, sikap Anwar itu bukan sahaja disedari oleh pemimpin politik tempatan malah dialami sendiri oleh bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla apabila Anwar mendakwa Jusuf cuba mempelopori pelan damai antara Anwar dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Akibatnya, Jusuf kini semakin rapat dengan Najib dan saya difahamkan Jusuf dan Najib baru-baru ini meluangkan masa bermain golf bersama di Indonesia tetapi selama 12 tahun saya bersama Anwar dahulu, Jusuf tidak pernah memberi layanan istimewa sebegitu kepada Anwar," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya at 10.28 am on JUne 21,2013.

No comments: