Sunday, June 23, 2013

Husam ditahan reman dua hari

Oleh YULPISMAN ASLI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 23 Jun - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya bahawa peserta yang terkorban ketika menyertai perhimpunan haram tajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Padang Merbok, Kuala Lumpur, sebagai mati syahid.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor yang juga bekas Exco Kelantan itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nik Habri Muhamad kira-kira pukul 9.30 pagi ini di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa di sini.

Husam diwakili oleh lima orang peguam iaitu Hisham Fauzi, Abdul Rashid Yah, Shaharuddin Mohamed, Nik Baharom Nik Abdullah dan Wan Razak Wan Dolah.

Hisham ketika ditemui pemberita selepas prosiding permohonan reman berkata, pihak polis pada awalnya memohon untuk Husam ditahan reman selama empat hari, manakala pihaknya memohon supaya wakil rakyat Pas itu dibebaskan serta-merta.

"Alasan kami, Husam ditahan di bawah Akta Hasutan yang mana akta hasutan itu hanya menetapkan satu syarat sahaja iaitu sama ada perkataan yang diucapkan itu termasuk dalam kategori menghasut atau pun tidak.

"Maknanya dapatkan rakaman ucapan dan buat keputusan sama ada menghasut atau pun tidak. Jika menghasut pihak polis boleh meneruskan dengan pertuduhan untuk mahkamah adili dan jika tidak menghasut pihak polis sewajarnya melepaskan kes ini. Jadi tak timbul keperluan untuk pihak polis terus menahan beliau lebih lama.

"Majistret kemudian membenarkan permohonan reman dua hari sahaja iaitu hari ini dan esok (hari ini)," katanya di sini hari ini.

Hisham memberitahu, seramai 10 orang peguam akan mewakili Husam bagi kes berkenaan. Berkenaan permohonan tahanan reman ke atas Husam yang dibuat di lokap polis IPD Kota Bharu dan bukan di Mahkamah Majistret, Hisham berkata, ia permohonan daripada pihak polis kepada mahkamah.

Hisham juga mendakwa, setakat ini hanya isteri Husam, Datin Rohana Abdul Rahman sahaja yang dibenarkan melawat beliau.

Husam ditahan berhubung satu laporan polis yang dibuat di Ketereh, di sini pada 12 Jun lalu berkaitan ucapan berbaur hasutan yang dibuatnya ketika memberi ucapan di Padang Majlis Daerah Ketereh.

Husam ditahan di sebuah restoran di Desa Pandan, Ampang, Selangor, pada pukul 3.40 petang semalam. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah berkata, aktivis pembangkang, Khalid Mohd. Ismath, 23, yang turut ditahan semalam mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan berhubung kenyataannya dalam akaun laman Twitter telah dibebaskan pukul 6 petang tadi.

"Khalid dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang setelah keterangannya selesai diambil.

"Dia disiasat berhubung satu laporan yang dibuat di Balai Polis Batu 9 Cheras, Kajang berhubung statusnya di laman itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Khalid ditahan di Jalan Gelang 6, Bandar Putri Fasa 2, Klang, Selangor pada pukul 5.45 petang berhubung kenyataan dalam Twitter miliknya yang mendakwa kejayaan perhimpunan di Padang Merbok, Kuala Lumpur adalah apabila kenderaan polis diterbalikkan.(Utuisan online-jenayah).Posted by abnmulya at 9.46 am on June 24,2013.

No comments: