Sunday, June 23, 2013

NGO desak tindakan keras dikenakana ke atas peserta

Mohd Fared Abdul Ghani
KOTA BHARU 23 Jun - Pemimpin pembangkang yang terlibat dalam siri perhimpunan haram 'Blackout 505' tidak sepatutnya bersikap emosional ketika menuntut hak tertentu sehingga mencetuskan huru-hara dalam kalangan rakyat.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menegaskan, prinsip demokrasi yang menjadi tunjang kepada negara berparlimen sepatutnya tidak dicemari oleh kerakusan nafsu politik individu tertentu semata-mata.

Ahli Jawatankuasa Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang berkata, sistem pemerintahan di Malaysia sememangnya telah mengikut konsep Islam di mana kuasa memilih terletak sepenuhnya di tangan rakyat.

Katanya, golongan yang cuba menafikan sistem keadilan yang ada dengan bertindak secara agresif adalah menyimpang daripada acuan Islam sebenar dan boleh disifatkan sebagai penderhaka.

 "Apabila keputusan tidak berpihak kepada mereka lalu dihukum sebagai tidak adil dan mengajak rakyat untuk melakukan protes di jalanan sehingga berlakunya insiden buruk menyebabkan kecederaan, itu tidak kena.

"Lebih menyedihkan, apabila ada dalam kalangan mereka sanggup mengeluarkan fatwa songsang sebagai retorik agama bagi tujuan tersebut. Ini pengkhianat namanya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam Islam, ada pendapat yang mengatakan bahawa golongan penderhaka terhadap bangsa dan negara wajar dikenakan tindakan tegas termasuk hukuman bunuh.

 "Kalau mereka tidak puas hati dengan sebarang keputusan, negara kita ada undang-undang bagi memberi uang kepada mereka untuk membuat bantahan mengikut saluran yang betul, maka ikutlah saluran itu.

"Kalau begini sikap mereka buat apa buat petisyen, tapi dalam masa sama mereka seolah-olah mendahului keputusan mahkamah dengan membuat kecoh begitu." katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, aktiviti yang berunsurkan pecah belah sesama sendiri bukan amalan budaya Melayu atau sikap masyarakat Islam dan ianya harus dibendung tanpa kompromi.

Katanya, pihak berkuasa termasuk kerajaan mesti memandang serius perkara tersebut bagi memastikan keadaan dalam negara yang berbilang bangsa, sentiasa kekal aman dan makmur.

"Kerajaan mesti bertindak tegas terhadap mereka ini, apatah lagi kelakuan biadap ini bukan kali pertama. Kalau asyik amaran, amaran, amaran sahaja tidak cukup untuk membendung kejadian seumpamanya pada masa akan datang," katanya.

Siri perhimpunan haram anjuran Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PR-13) yang diadakan semalam walaupun dikatakan tidak mencapai sasaran namun insiden buruk menyebabkan kecederaan turut berlaku.

Bahkan, amat mengaibkan perhimpunan tersebut menyaksikan kebiadapan beberapa penyokong pembangkang mengarak bendera merah putih yang dikaitkan dengan usaha menukar Jalur Gemilang.( Utusan on line-politik).Posted by abnmulya at 9.34 on June 24,2013.

No comments: