Wednesday, June 5, 2013

Pertikaian Laut Cina Selatan perlu tolak ansur

KUALA LUMPUR 5 Jun - China dan negara Asia Tenggara perlu bertolak ansur dalam menyelesaikan pertikaian wilayah di Laut China Selatan bagi menjamin wujudnya keamanan dan keselamatan berkekalan serta kemakmuran ekonomi di rantau ini.

Pemerintah Markas Pasifik Amerika, Laksamana Admiral Samuel J. Locklear III hari ini berkata negara terbabit perlu mengamalkan sikap tolak ansur bagi mengelak tercetusnya pelbagai akibat buruk terhadap ekonomi dan keselamatan di rantau berkenaan.

Katanya, negara terbabit juga perlu mengadakan dialog dan perbincangan pelbagai hala bagi meredakan ketegangan dan meningkatkan persefahaman sesama mereka.

Pegawai tertinggi tentera Amerika di Pasifik itu menganjurkan agar negara berkenaan berkongsi maklumat dan bekerjasama dalam membasmi jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia dan penyeludupan kerana langkah ini boleh menyumbang kepada wujudnya tolak ansur antara mereka.

"Kami berpendapat sebarang pertikaian wilayah boleh diselesaikan secara aman, tanpa melibatkan sebarang konflik," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada persidangan meja bulat Asia Pasifik ke-27 selama tiga hari di sini.

China, Taiwan, Vietnam, Filipina, Brunei dan Malaysia menuntut seluruh atau sebahagian daripada kawasan di Laut China Selatan.

Mengenai tatakelakuan di Laut China Selatan, yang sedang disusun Asean dan China, Locklear berkata usaha itu boleh membantu dalam menetapkan garis panduan yang perlu dipatuhi para pegawai tentera berhubung respons mereka di kawasan yang dipertikai itu bagi mengelak berlakunya pergeseran, yang akhirnya boleh mencetuskan konflik ketenteraan yang serius.

Untuk rekod, pada 1990-an, China dilihat menjadi ancaman terhadap jirannya di Asia Tenggara berikutan tindakannya menuntut wilayah di Laut China Selatan setelah menyokong kebangkitan komunis sebelum itu. 

Hari ini, pendirian China yang bersifat 'charm offensive' dan tindakannya memberi fokus terhadap hubungan perdagangan dengan negara Asia Tenggara berjaya mengendurkan ketegangan berhubung isu pertikaian wilayah itu.

Pada November 2004, China dan Pertubuhan Negara Asia Tenggara (Asean), yang dianggotai Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam bersetuju untuk menarik balik tarif secara beransur-ansur dan mewujudkan sebuah kawasan perdagangan bebas terbesar di dunia pada 2010. China juga menjalin hubungan keselamatan dua hala dan pelbagai hala dengan negara di Asia Tenggara. - BERNAMA( Utusan online-dalam negeri) ,Posted by abnmulya at 12.51 am on June 06,2013.

No comments: