Saturday, June 8, 2013

Terperangkap 14 jam di Parlimen

Sebahagian daripada 3,000 penunjuk perasaan, membentuk rantaian manusia di luar bangunan Parlimen Bosnia menghalang anggota Parlimen, kakitangan kerajaan dan kakitangan bank antarabangsa keluar dari bangunan itu, dalam satu tunjuk perasaan di Sarajevo, kelmarin. - AGENSI 

\SARAJEVO 7 Jun - Kira-kira 1,500 anggota Parlimen, kakitangan kerajaan dan kakitangan bank antarabangsa, terperangkap di dalam bangunan Parlimen Bosnia selama 14 jam selepas dikepung ribuan penunjuk perasaan yang mendesak pelaksanaan kad pengenalan warganegara baharu.

Kira-kira 3,000 orang yang kebanyakan mereka pelajar dan ibu bapa muda bersama bayi, semalam mengepung bangunan tersebut selepas kegagalan anggota Parlimen daripada pergerakan Islam, Parti Serbia dan parti Croatia bersetuju tentang penentuan nombor kad pengenalan 13 digit untuk setiap warganegara. 

Kegagalan pelaksanaan rang undang-undang baharu itu menyebabkan bayi yang dilahirkan sejak Februari lalu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri selepas rang undang-undang tentang perkara itu sebelum ini tamat pada bulan tersebut.

Utusan khas antarabangsa Bosnia, Valentin Inzko hanya berjaya meyakinkan penunjuk perasaan untuk membenarkan mereka yang terperangkap dibebaskan pada kira-kira pukul 4 pagi waktu tempatan hari ini (10 pagi ini waktu Malaysia). Beliau berjanji akan membantu menyelesaikan isu tersebut.

 "Kira-kira 250 pegawai bank asing yang menghadiri persidangan kewangan merupakan antara mereka yang terperangkap dan meminta bantuan kedutaan mereka untuk membantu membawa mereka keluar daripada situasi 'tebusan' tersebut.

 "Saya menerima panggilan daripada diplomat Austria dan Jerman, meminta membantu warganegara mereka. Keadaan ini akan memberi kesan kepada imej Bosnia kerana mereka merupakan kakitangan bank asing yang datang ke negara ini bagi melihat peluang pelaburan,'' katanya.
]
 Perbalahan berhubung bagaimana menggariskan daerah-daerah untuk nombor kad pengenalan merupakan antara satu contoh nyata politik melibatkan etnik yang membelenggu Bosnia sejak tamatnya perang 1992-1995, yang menyebabkan Kerajaan Pusat lemah dan sistem kuota etnik merencatkan pembangunan.

 Pada awal Februari lalu, sebuah mahkamah memutuskan pembekuan pendaftaran kelahiran yang menyebabkan bayi yang baru dilahirkan tidak boleh dikeluarkan pasport atau kad perubatan yang diperlukan untuk menemui seseorang doktor.

 Demonstrasi di luar bangunan Parlimen tersebut diadakan selepas sepasang ibu bapa bayi berumur tiga bulan mendedahkan di laman web Facebook pada minggu ini, bahawa anak mereka dinafikan dokumen perjalanan untuk mengadakan pembedahan sel stem penting di Jerman.

Kelmarin, kerajaan mencapai perjanjian sementara untuk mengeluarkan semula kad pengenalan dalam tempoh enam bulan sehingga satu perjanjian penuh dicapai. - REUTERS 3 (Utusan online-luar negara).Posted by abnmulya at 12.59 am on June 09,2013.

No comments: