Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak menurunkan tandatangan pada sehelai baju 't' selepas melancarkan Kempen Bersatu Menentang Jenayah di Taman KLCC, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kiri) dan Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri). - BERNAMA
KUALA LUMPUR 8 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengkaji cadangan agar diwujudkan talian kecemasan khas yang disambung terus ke Bukit Aman.
Menurut Perdana Menteri, cadangan tersebut dikemukakan oleh veteran polis dalam satu pertemuan baru-baru ini bagi membolehkan Bukit Aman sendiri mengarah tindakan pantas sekali gus membantu memerangi jenayah.
Jelas beliau, talian kecemasan sedia ada memerlukan operator mentafsir ke mana aduan yang dibuat orang ramai perlu disalurkan sama ada kepada polis, bomba atau pun hospital menyebabkan kerugian dari segi masa.
"Kita tidak mahu beberapa minit yang cukup berharga itu terbuang (ketika operator melakukan pentafsiran) apatah lagi dalam kes membabitkan kejadian jenayah yang memerlukan tindakan segera dan pantas daripada pihak polis.
"Kalau kita dapat mewujudkan talian kecemasan khas ke Bukit Aman, mangsa boleh berinteraksi terus. Harap Kementerian Dalam Negeri dan PDRM dapat kaji cadangan ini, kalau baik laksanakanlah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Bersatu Menentang Jenayah di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Ketika ini talian 999 digunakan bagi membolehkan orang ramai memaklumkan sebarang kejadian kecemasan dan operator bertugas akan menyambungkan setiap panggilan kepada cabangan keselamatan bersesuaian.
Pada majlis sama, Najib menggesa pusat beli-belah dan pihak swasta turut serta memerangi jenayah dengan mengeluarkan peruntukan tambahan bagi memastikan keselamatan orang awam di premis masing-masing terjamin.
Menurut Perdana Menteri, pusat beli-belah dan pihak swasta tidak perlu lokek mengeluarkan peruntukan bagi menambah jumlah pengawal keselamatan serta memasang lebih banyak sistem kamera litar tertutup (CCTV) kerana mustahil pihak polis dapat menjaga setiap inci kawasan di negara ini.
Beliau menambah, usaha memerangi jenayah bagi mewujudkan persekitaran selamat kepada rakyat adalah satu peperangan yang memerlukan komitmen serta sokongan berterusan daripada semua pihak termasuk swasta, baik di pusat beli-belah yang menjadi tumpuan orang ramai mahu pun di kawasan-kawasan perumahan.
"Jangan fikir mengenai keuntungan sahaja, kena juga fikir mengenai sumbangan perangi jenayah. Kalau pusat beli-belah itu selamat dari jenayah, ia akan lebih popular. Kita mesti lihat dari sudut tersebut," katanya.
Sementara itu sehingga kini, lebih sejuta rakyat Malaysia dan kira-kira 30 syarikat swasta telah mengatakan ikrar mereka untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi memerangi jenayah.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulya at 12.02 am on June 09,2013.
.jpg)
No comments:
Post a Comment