Friday, July 5, 2013

PRK DUN Kuala Besut 24 Julai

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN 
pengarang@utusan.com.my 

ABDUL Aziz Mohd. Yusof menyampaikan watikah pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut kepada A. Rahim Jusoh (kanan) di Ibu Pejabat SPR, Putrajaya, semalam. Turut serta Wan Ahmad Wan Omar (kiri). - BERNAMA 

PUTRAJAYA 5 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akan diadakan pada 24 Julai dan hari penamaan calon pada 12 Julai ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, tarikh pengundian awal pula akan diadakan pada 20 Julai. Menurutnya, daftar pemilih digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2011 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan (DPT) suku pertama, kedua, ketiga dan keempat tahun 2012 serta DPT suku pertama 2013 yang telah dikemas kini sehingga 26 Jun lalu.

Katanya, daftar pemilih tersebut mengandungi seramai 17,683 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 16,534 pemilih biasa, 1,134 tentera dan pasangan, 14 orang pengundi dan seorang pengundi tidak hadir di luar negara.

"Seramai 305 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dan anggaran kos PRK ini adalah sebanyak RM760,000," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas mengenai PRK DUN Kuala Besut di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut kepada A. Rahim Jusoh. Kerusi DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian penyandangnya, Dr. A. Rahman Mokhtar, 55, pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, beliau mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 apabila mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Pada masa sama, Abdul Aziz berkata, SPR bersetuju menubuhkan satu Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti kempen sepanjang tempoh 12 hari yang diketuai oleh Setiausaha Majlis Daerah Besut, Saidi Salleh. Menurutnya, Pegawai Daerah Besut, A. Rahim Jusoh dilantik sebagai pegawai pengurus pilihan raya.

"Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja akan dijadikan pusat penamaan calon dan Dewan Majlis Daerah Besut sebagai pusat penjumlahan undi rasmi.

"Sembilan pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu satu pusat mengundi awal dan lapan pusat mengundi pada hari biasa," katanya.

Abdul Aziz memberitahu, Dewan Serbaguna TUDM Gong Kedak akan dibuka sebagai pusat mengundi awal manakala lapan buah sekolah dengan 35 saluran mengundi dibuka pada hari mengundi biasa.(Utusan online-dalam negeri).Posted by abnmulyta ? Haji AQbu Bakar Ninggal.blogspot.com at 9.53 am on July 06,2013.

No comments: