Saturday, November 30, 2013

Bendong bocor rahsia

Oleh HISYAMUDDIN AYUB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA KINABALU 30 Nov. - Peruntukan undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk membendung kegiatan membocorkan rahsia negara atau tindakan individu yang cuba menyebar maklumat dalam negara kepada pihak luar.
Tan Sri Abdul Gani Patail

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, ketegasan negara dalam menuduh pesalah yang cuba melakukan aktiviti tidak bermaruah itu telah dilaksanakan sejak dahulu lagi dan terbaharu adalah melibatkan seorang anggota polis yang menyebarkan rahsia negara kepada pengganas Kiram pada awal tahun ini. 

Katanya, tindakan anggota berpangkat koperal itu menyalurkan maklumat kepada pengganas Kiram ketika kejadian pencerobohan di Lahad Datu merupakan bukti kukuh kerajaan bertindak tegas terhadap individu yang cuba membocorkan rahsia negara menerusi undang-undang sedia ada.

"Saya tidak berasa bimbang dengan keupayaan negara menangani kes pembocoran maklumat atau rahsia yang cuba dilakukan oleh pihak atau individu tidak bertanggungjawab dengan baik.

"Malah, menerusi peruntukan undang-undang sedia ada serta kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pihak polis, perkara seumpama ini akan dapat dibendung dan diatasi sebaiknya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (Sekam) 2013 anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Mengulas lanjut, Abdul Gani berkata, kegiatan cuba menyebar maklumat negara bukan satu perkara baharu kerana kejadian sama pernah berlaku pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an.

Namun begitu katanya, tindakan pantas pihak keselamatan negara serta peruntukan undang-undang sedia ada telah membolehkan perkara itu ditangani dengan sebaiknya.(Utujsan online-Dalam Negeri).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.45 am on Disember 01,2013.

No comments: