Saturday, November 2, 2013

Kalimah Allah : Peguam Muslim beri amaran kepada majlis peguam

OLEH DIYANA IBRAHIM 
NOVEMBER 02, 2013

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini memberi amaran kepada Majlis Peguam supaya tidak meneruskan hasrat untuk menyokong rayuan semula kalimah Allah dalam penerbitan mingguan Katolik, Herald atau mereka yang berbuat demikian bakal berdepan dengan tindakan. 

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar (gambar kiri), berkata Majlis Peguam dilihat selalu mengambil langkah yang bertentangan dengan kepercayaan umat Islam di negara ini dan PPMM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya mereka masih berdegil.

"PPMM yang juga sebahagian daripada ahli Majlis Peguam Malaysia menyokong sepenuhnya keputusan Mahkamah Rayuan.

Maka, persatuan kita membantah tindakan bercanggah oleh Majlis Peguam berkenaan dengan isu penggunaan kalimah Allah.

"Majlis Peguam selaku badan eksekutif yang mewakili semua peguam di Malaysia dengan ahlinya terdiri daripada peguam Islam dan bukan Islam harus melupakan hasrat tersebut. Dalam keadaan ini kita mengingatkan Majlis Peguam untuk tidak mengambil apa-apa pendirian partisan mengetepikan sensitiviti beribu-ribu ahli peguam Islam di Malaysia,” katanya.

Zainul berkata demikian ketika mengulas kenyataan Majlis Peguam yang menyatakan pendirian untuk mempertimbangkan rayuan semula kes pengharaman penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Herald. 

Kenyataan yang disiarkan akhbar bahasa Inggeris The Sun pada 30 Oktober lalu turut merujuk hasrat Majlis Peguam itu mengikut langkah Persatuan Peguam Sabah (SBA) yang menentang keputusan Mahkamah Rayuan behubung isu pengunaan kalimah Allah.

Ia turut mendapat tentangan penduduk Kristian di Sabah dan Sarawak apabila menyatakan mereka menggunakan perkataan Allah sejak berkurun lamanya dari zaman nenek moyang mereka.

Menjelaskan mengenai kekeliruan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan Mahkamah Rayuan hanya untuk akhbar Herald dan kerajaan tidak akan menyekat penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Najib berkata, larangan Herald daripada menggunakan Allah adalah perlu untuk menjaga ketenteraman awam dan keharmonian negara dengan alasan Herald adalah akhbar yang tersebar luas.

Herald dicetak 14,000 naskah setiap minggu dan diedarkan melalui gereja. Dalam wawancaranya dengan Reuters di London, Najib berkata:

"Semua perlu faham ada hal yang sensitif di Malaysia, tetapi yang terlebih penting adalah ketenteraman awam dan keharmonian negara." – 2 November,2013.(The Malaysian Insider).Posted by bnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 7.05 am on Novemeber 03,2013.

No comments: