Sunday, November 3, 2013

TPM Yakin BN Mampu Tawan DUN Sungai Limau

MUHYIDDIN Yassin menghadiri taklimat persiapan jentera pilihan raya BN bersama Mukhriz Tun. Dr. Mahathir di Bilik Gerakan BN Sungai Limau, Yan, hari ini. - UTUSAN/NOORADZRENE MOHD NOOR  

JERAI 3 Nov. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin Barisan Nasional (BN) akan mampu menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dalam pilihan raya kecil kawasan itu, esok.

Katanya, jentera BN sudah berjaya menyakinkan pengundi berhubung dasar perjuangan kerajaan dan apa matlamat BN untuk menang selain mahu membantu supaya kawasan Sungai Lima dapat dibangunkan.

"Kita tidak kira sesiapa, kalau jadi pengundi mereka akan terus dibantu…berilah peluang kepada calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim kerana kita sudah dapat kepastian daripada Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir bahawa beliau sendiri akan memberi tumpuan kepada wakil rakyat baru BN itu supaya kawasan ini tidak terus tertinggal,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis taklimat tertutup jentera BN di Bilik Gerakan BN di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, beliau yakin angin sudah meniup ke arah BN berikutan kejayaan jentera parti itu menembusi semua kubu-kubu Pas.

"Dalam pertemuan kita dengan penduduk di kawasan tersebut, ia memberi keyakinan bahawa mereka akan membantu kita. Mereka tertarik dengan kesungguhan dan keikhlasan BN,'' katanya.

Mengenai pengundi Cina, beliau berkata, sudah ada tanda-tanda positif kaum itu ke arah membantu BN.

"Ini perkara utama yang kita lihat dan berdasarkan kepada faktor itu insya-Allah, kita boleh mencapai kejayaan," katanya.

Ditanya berhubung kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan parti itu akan menang dalam majoriti sekitar 500 undi, Muhyiddin berkata, BN juga mempunyai angka tersendiri berdasarkan kajian di peringkat akar umbi.

"Tetapi saya telah beritahu jentera dalam tempoh beberapa jam sehingga habis pembuangan undi esok, ia adalah tempoh paling kritikal, kita minta mereka terus bekerja keras untuk berjumpa pengundi sehingga tengah malam ini,'' katanya.

- UTUSAN ONLINE-POLITIK.(Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 2342 hrs on November 03,2013.

No comments: