NOVEMBER 03, 2013
Walaupun PAS yakin mempertahankan kubu kuatnya di Sungai Limau, kehadiran Datuk Mukhriz Mahathir dengan jentera yang lebih sistematik pada pilihan raya kecil (PRK) kali ini berkemungkinan mengubah keputusan esok.
Penulis masih terkenang ketika corak berkempen Menteri Besar Kedah itu di Ayer Hitam semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
Strategi sama diterjemahkan pada PRK Sungai Limau, dibantu jentera kempen dari seluruh negara yang berkampung sejak dua minggu lalu disini.
"Kali ini jentera lebih sistematik kalau nak dibandingkan dengan dahulu.
"Seluruh negara turun berkempen dan memberi suntikan kepada jentera Barisan Nasional (BN) kali ini," kata Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, bekas pengerusi perhubungan Umno negeri Kedah, kepada The Malaysian Insider.
Semasa PRU13 lalu, Mukhriz (gambar kanan) banyak menganjur program-program berbentuk karnival dan pesta di Ayer Hitam.
Ia adalah sama di Sungai Limau untuk mendapatkan sokongan pengundi muda.
Faktor populariti Mukhriz di kalangan pengundi muda juga tidak ditolak sebagai penyumbang kejayaan BN merampas negeri Kedah daripada PAS.
Malah penentu kemenangan parti bertanding di Sungai Limau juga bakal ditentukan oleh hampir 11,000 pengundi muda.
"Sama seperti PRU13 lalu, populariti Mukhriz di kalangan orang muda sangat hebat.
"Kalau dilihat dalam program-program yang dianjurkan BN kali ini, sokongan pengundi muda sangat memuaskan," kata Ahmad Bashah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Strategi penganjuran program-program tersebut dilihat berkesan dalam mendekati pengundi muda di Sungai Limau.
Tinjauan wartawan The Malaysian Insider di salah satu lokasi karnival berdekatan kubu kuat PAS di Bukit Besar tidak pernah lekang dengan pengunjung, khususnya golongan muda.
"Ini kali pertama saya dapat rasakan kemeriahan macam ini di Sungai Limau.
"Sebelum ini Sungai Limau tenang dan agak bosan, tapi karnival-karnival macam ini bagi kampung kami meriah dan banyak aktiviti," kata Azhar Ramli, 27, semasa ditemui di karnival di sebuah sekolah berhampiran Bukit Besar.
Rakannya Riduan Rahmat, 26, berkata harapan anak muda hanya satu, iaitu ingin melihat pembangunan seperti di Gurun dan Guar Chempedak dapat dibawa sama ke Sungai Limau.
"Kalau kita tengok Gurun dan Guar Chempedak, walaupun bersebelahan, mereka lebih maju dari Sungai Limau.
"Tak banyak yang kami minta, cuma bangunkan Sungai Limau supaya tidak ketinggalan dengan kawasan lain," kata beliau.
Penganalisis politik dari UiTM, Profesor Shaharuddin Badaruddin, melihat kemenangan kepada Mukh
"Jika BN menang, ia pasti memecahkan dinding psikologi dan Mukhriz pastinya akan dipuji.
"Secara peribadi, saya rasa ia sangat penting untuk Mukhriz memastikan beliau boleh memperbaiki prestasi BN bukan hanya untuk memperbaiki imejnya tetapi juga membuktikan sesuatu kepada penyokongnya selepas tewas dalam pemilihan Umno," kata Shaharuddin.
Jalan-jalan kampung yang kebiasaannya lenggang tanpa kenderaan dibanjiri dengan kereta mewah dan besar berjenama Audi, Mercedes, Range Rover dan BMW tidak putus-putus masuk ke dalam kampung.
Pesawah Jamaluddin Yusof, 43, yang membesar di Dulang Besar, mengganggap kehadiran orang ramai kali ini menghidupkan suasana kampung yang suatu ketika dahulu sunyi.
"Kali terakhir macam ini adalah 28 tahun dahulu, ketika saya mengundi buat kali pertama dahulu.
"Dah lama tak rasa macam ini, gembira dapat tengok pemimpin negara dan orang luar yang keluar masuk ke sini," kata Jamaluddin yang teruja dengan kemeriahan sepanjang tempoh berkempen PRK di Sungai Limau berjalan.
Bagi calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim mengganggap bantuan jentera daripada seluruh negara yang membantunya pada PRK kali ini menunjukkan ukhwah yang terjalin dalam memastikan kemenangan pada pilihan raya kali ini.
"Saya berterima kasih kepada semua yang datang membantu, ini menunjukkan satu ukhwah yang kuat di dalam BN," kata beliau.
Selain faktor populariti, strategi Mukhriz yang mengambil pendekatan "sentuhan peribadi" untuk merapati penduduk sekitar juga akan memberikan impak yang besar pada PRK kali ini.
Keputusannya bermalam di rumah salah seorang nelayan di Kampung Seberang Tandop, kampung yang terkenal dengan penyokong PAS tegar juga meresahkan jentera lawan yang bergantung kepada pengundi "setia" pada PRK di Sungai Limau ini.
"Kelam-kabut lah," kata sumber dalaman parti PAS kepada The Malaysian Insider. Dua hari sebelum membuang undi, tempoh berkempen yang tenang tiba-tiba dicemari dengan insiden menggantung replika kaki dipotong di Bukit Besar, kawasan berhampiran kubu kuat PAS.
Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berkata sekiranya PAS tewas di Sungai Limau, kesan yang lebih besar akan menimpa parti tersebut yang bakal menghadapi pemilihan parti tidak lama lagi.
"Jika PAS tewas, ia akan menjadi satu kejutan kepada parti. "Pemimpin PAS dan ahlinya pasti akan jatuh moral mereka, ini akan menjadi lonjakan psikologi kepada BN," kata beliau.
Pesuruhjaya PAS negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang mengakui cabaran besar pada PRK kali ini, berkata kemenangan majoriti lantai 500 undi adalah sesuatu yang sudah baik untuk mereka.
Seramai 27,222 pengundi di Sungai Limau akan membuang undi pada esok hari bagi memilih wakil rakyat mereka. Kerusi Dewan Undangan (DUN) Sungai Limau kosong selepas penyandangnya Tan Sri Azizan Razak meninggal dunia pada 26 September lepas.
Azizan merupakan penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995.
Pada PRU13 lepas, Azizan mengekalkan DUN Sungai Limau bagi penggal kelima berturut-turut dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN.(The Malaysian Insider).Posted bya abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.cxom.at 2358 hrs.on November 03,2013.
No comments:
Post a Comment