Friday, November 15, 2013

Kerajaan Kelantan dianggap telah peralat institusi diraja.

KOTA BHARU 15 NOV. - Kerajaan Pas Kelantan dianggap telah memperalatkan institusi diraja sebagai ketua agama negeri ini dalam isu pelaksanaan hukum hudud yang dijanjikan sejak lebih 20 tahun lalu.

Aktivis Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang berkata, Sultan Kelantan telah berkenan menandatangani Kanun Jenayah Syariah II selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskannya pada 1993, namun tidak dilaksanakan sehingga sekarang.

"Ini maknanya satu penipuan. Lulus, kemudian tuanku tandatangan tetapi tak buat. Perkara yang sudah lulus sepatutnya terus dilaksanakan dengan segera kalau tidak apa ertinya kelulusan itu?

"Kerajaan seolah-olah telah menjadikan sultan sebagai alat untuk meyakinkan rakyat kononnya Kelantan akan melaksanakan hudud dengan meluluskan draf berkenaan yang ditandatangani Tuanku," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, agak tidak munasabah sesuatu perkara yang telah mendapat kelulusan DUN tetapi masih gagal untuk dilaksanakan sehingga memakan masa puluhan tahun.

"Bukankah untuk meluluskan sesuatu perkara itu mesti lengkap dengan kriteria-kriteria tertentu berhubung perkara-perkara berkaitan, jadi apa lagi masalahnya sampai sekarang tidak dapat laksanakan (hudud)?" soalnya.

Akhbar semalam melaporkan Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan sudah bersedia sepenuhnya melaksana hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sekiranya kerajaan Pas Kelantan menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Zawawi menegaskan, kerajaan Pas Kelantan tidak wajar mempolitikkan isu hudud dengan menyalahkan kerajaan Pusat kononnya menjadi penghalang memandangkan kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak dalam perkara terbabit.

Katanya, perlembagaan negara tidak pernah menuntut mana-mana negeri yang mahu melaksanakan hukum hudud mesti mendapat kebenaran kerajaan Pusat terlebih dahulu.

"Maka tidak benar sama sekali dakwaan mengatakan selama ini kerajaan Pusat yang menjadi penghalang hasrat mereka itu. Bahkan, sebelum ini juga pengamal undang-undang pernah mendedahkan perkara tersebut," katanya.(Utusan online-politik).Posted  by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com. at 12.30 am on november 16,2013.

No comments: