SEREMBAN 15 Nov. - Hukum hudud Pas kerajaan Kelantan boleh disifatkan seperti 'minuman berkarbonat' yang hanya akan meletus ketika waktu tertentu bagi menjaga hati serta meraih sokongan ahli tegar parti pembangkang itu.
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass berkata, hukum hudud Pas ini sudah sering dilaungkan dan timbul persoalan dalam kalangan rakyat berhubung waktu dilaksanakan, sedangkan pada masa ini DAP sendiri telah menunjukkan bantahan secara terbuka.
Beliau mempersoalkan jika benar Pas ada karisma, mengapa perlu tunduk kepada DAP sedangkan negeri Kelantan ditadbir oleh Pas sejak 25 tahun lalu dan bukan DAP.
''Isu hudud ini bukan sesuatu yang baharu. Saya melihat perkara ini ada baik dan buruknya, tetapi apa yang hendak saya tanyakan kepada Pas, mengapa selepas 25 tahun mentadbir negeri Kelantan, hudud belum dapat dilaksanakan?
''Kemudian, mengapa pula perlu dengar cakap DAP? Bagi saya, isu ini sudah lapuk untuk dipersembahkan kepada rakyat, iaitu satu usaha untuk menjaga hati penyokong mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kesediaan Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan melaksanakan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sekiranya kerajaan Pas Kelantan mahu menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa terdekat.
Walau bagaimanapun Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez secara terbuka membantah cadangan berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak sesuai kerana Malaysia merupakan sebuah negara majmuk.
David berkata, menjadi satu persoalan pula terhadap pendirian sekutu pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dilihat ketika ini lebih gemar berdiam diri.
''Sebab itulah saya katakan, sukar bagi pembangkang melaksanakan sesuatu dasar secara bersama, biarpun tertulis di atas kertas. Ideologi kepartian masing-masing adalah berbeza," tegasnya.
Jelas beliau lagi, apa yang dilihat pada hari ini, 'perkahwinan' Pas-DAP-PKR hanyalah bermotif politik dan bersifat retorik di atas kertas, tetapi tidak bersepakat dalam banyak isu dan antaranya dalam soal pelaksanaan hukum hudud Pas kerajaan Kelantan ini.
''Saya tidak hairan lambat laun ada yang 'bercerai' kelak," tegas David.( Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.24 am on November 16,2013.
No comments:
Post a Comment