KOTA BHARU 15 Nov. - Kerajaan Pas Kelantan akan menanggung dosa sekiranya tidak melaksanakan hukum hudud yang telah dijanjikan parti itu dalam pilihan raya umum pada tahun 1990.
Ketua Hakim Syarie Kelantan,
Datuk Daud Muhammad berkata, ini kerana Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan telah diluluskan pada tahun 1993, manakala Jabatan Kehakiman Syariah negeri sendiri telah pun bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hukum Islam tersebut.
"Dia akan berdosa, buat apa dia buat undang-undang tetapi tidak dilaksanakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung isu Kerajaan Pas Kelantan masih tidak melaksanakan hukum hudud tersebut meskipun enakmen telah digubal dan diluluskan, manakala jabatan kehakiman syariah sendiri telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hukum tersebut.
Dalam pada itu, mengulas kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula, Daud berkata, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan itu boleh berjumpa dengan beliau untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang kenyataannya sebelum ini.
Ketua Hakim Syarie itu berkata, kerajaan Pas Kelantan sepatutnya tidak memanjangkan isu itu, sebaliknya menumpukan usaha untuk melantik hakim khas bagi membolehkan hukum tersebut dilaksanakan segera di negeri ini.
"Dia boleh jumpa saya untuk mendapatkan penjelasan, tak perlu panjang-panjangkan, lantik sahaja hakim khas, lepas tu boleh jalanlah (laksanakan hukum hudud)," katanya.
Mohd. Amar semalam dalam reaksinya menyatakan Daud perlu menjelaskan kenyataannya yang menyatakan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Kelantan bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan hukum hudud.
Daud membuat kenyataan itu kepada pemberita selepas majlis Perasmian Kompleks Kehakiman Syariah Kelantan di Tunjong oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Beliau dilaporkan berkata, Jabatan Kehakiman Syariah negeri bersedia sepenuhnya melaksanakan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 sekiranya kerajaan Pas Kelantan mahu menguatkuasakan undang-undang tersebut dalam masa terdekat.
Daud berkata, pihaknya mempunyai kemudahan mencukupi untuk melaksanakan hukum Islam itu, bagaimanapun, kerajaan Pas Kelantan perlu menambah jumlah hakim.
Pelaksanaan hukum hudud dikatakan merupakan janji utama Pas sekiranya berjaya memerintah negeri ini pada pilihan raya umum 1990, namun Pas Kelantan sehingga kini terus berdolak-dalik untuk melaksanakan hukum tersebut.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.17 am on November 16,2013.
No comments:
Post a Comment