Friday, November 15, 2013

Kerajan Kelantan masih berdolak-dalih

KOTA BHARU 15 Nov. - Kerajaan Pas Kelantan masih berdolak-dalih dalam pelaksanaan hukum hudud di negeri ini biarpun telah menyatakan kesediaan untuk melanggar 'lampu merah' yang dikenakan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini.
Datuk  Mohd Amar Nik Abdullah

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak boleh tergesa-gesa untuk melaksanakan hukum tersebut sebelum mendapat maklum balas dan perincian daripada pakar perundangan, khususnya bekas Profesor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr. Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata, maklum balas itu amat penting bagi mengetahui kaedah bagaimana untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dalam kerangka bidang kuasa kerajaan negeri. 

"Sebabnya begini, pandangan pakar selain daripada Abdul Aziz, setakat kita tinjau semua pakar termasuk pensyarah mengatakan tidak boleh laksana hudud tanpa meminda perlembagaan, jadi inilah isu sekarang. 

"Bila kita sekarang tidak boleh hendak laksana kerana katalah jika undang-undang menghalang, jadi apakah persedian-persedian asas yang patut dibuat, jadi itu yang kita nak pandangan daripada pakar ini. Jika pakar kata kita tak boleh, jadi apa prasarana yang perlu dipersiapkan supaya bila dapat lampu hijau kita teruskan, itu maksud saya, itu yang kita nak bincang sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Pas Kelantan di sini hari ini.

Ketegasan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad dalam menyuarakan isu hudud sekali lagi menarik perhatian ramai selepas beliau dilaporkan berkata, Mahkamah Syariah Kelantan bersedia untuk melaksanakan enakmen tersebut pada bila-bila masa sekiranya kerajaan Pas Kelantan mahu menguatkuasakan undang- undang itu.

Mohd. Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan berkata, kerajaan Pas Kelantan tidak dapat menyatakan jangka masa atau tarikh tertentu bila hukum hudud akan dilaksanakan.

"Dalam enakmen itu memang disebut perlu bentuk mahkamah khusus untuk bicarakan kes hudud, kita perlu kerjasama pihak penjara dan polis, sebab ada pesalah jenayah ini yang perlu kita masuk dalam lokap atau penjara dulu.

"Jadi kerjasama semua pihak itu penting, cuma kita nak tengok step, mana yang dulu, mana yang kemudian, jadi ini yang kita perlukan pandangan daripada pakar-pakar.

"Kita nak bagi time-frame tak boleh sebab sekarang ini pakar-pakar belum beri pandangan lagi kepada kita. Kita baru minta daripada mereka," katanya.

Sementara itu, ketika menyampaikan kuliah beliau berkata, hukum hudud tidak dapat dilaksanakan sebelum ini disebabkan sekatan yang dikenakan oleh Kerajaan Pusat.

"Dahulu tok guru (bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) suruh tangguh sebab 'lampu merah' tetapi pastikan sentiasa dalam free gear dan enjin hidup.

"Sebab itu kita tidak buat 'gapo-gapo' (apa-apa) tetapi oleh kerana sudah terlalu lama menunggu lampu hijau, maka kita fikir biarlah kalau lampu merah sekalipun, kita teruskan juga tengok polis sekat atau tidak. Kalau kena saman, naik mahkamah itu perkara biasa," katanya.(Utusan online-politik).Posted by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 12.01 am on November 16,2013.

No comments: