Tuesday, November 19, 2013

Raja Ahmad yakin DAP beri perhatian tuntutan PAS

Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob,Naib Ketua Dewan Pemuda PAS
IPOH 19 Nov. - Dewan Pemuda Pas yakin DAP memberikan perhatian terhadap tuntutan pihaknya supaya Pengerusi parti itu, Karpal Singh memohon maaf dalam tempoh lima hari kerana meminta parti politik berasaskan kaum dan agama termasuk Pas dibatalkan.

Naib Ketua Dewan Pemudanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, tempoh lima hari sehingga Sabtu ini yang diberikan oleh pihaknya sudah memadai untuk Karpal memohon maaf dan menarik balik permintaannya itu.

"Saya fikir tidak wajar saya komen sebelum tempoh lima hari itu tamat. Saya rasa tempoh lima hari itu satu tempoh yang matang untuk DAP membincangkan dan memperhalusi tuntutan pihak kami.

"Jika tuntutan itu tidak dipenuhi dalam tempoh lima hari, kita akan putuskan tindakan susulan termasuk memanjangkan perkara ini ke Dewan Syura Ulama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Raja Ahmad Iskandar, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi membincangkan isu tersebut termasuk tindakan susulan yang bakal diambil.

Baru-baru ini, Raja Ahmad Iskandar mendakwa, beliau mempunyai cakera padat (CD) yang mengandungi rakaman penuh sidang akhbar selama 24 minit 47 saat yang dibuat Karpal di Pulau Pinang, 5 November lalu bagi membuktikan Ahli Parlimen Gelugor itu berbohong.

Karpal sebelum ini pernah menafikan beliau meminta pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan kaum dan agama termasuk Pas, dibatalkan kerana membahayakan negara.

Sebaliknya, Karpal dalam kenyataan balas memberi amaran supaya Raja Ahmad Iskandar berhati-hati dalam membuat kenyataan sambil menuduhnya berbohong serta mencabar pemimpin muda Pas itu mengeluarkan keseluruhan transkrip sidang akhbar berkenaan.

Walau bagaimanapun, merujuk kepada petikan transkrip terjemahan bahasa Melayu yang dilampirkan bersama kenyataan Raja Ahmad Iskandar, Karpal berkata:

"Ia boleh, memang, seperti saya katakan sebelum ini. Bergerak di atas garis-garis keagamaan, perkauman, adalah satu perkara yang sangat membahayakan di dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama seperti masyarakat kita.

"Saya fikir masanya mungkin sudah tiba bagi semua parti perkauman untuk dibatalkan pendaftarannya, ini malangnya merangkumi Pas juga. Kita perlu bersikap praktikal, kita perlu bersikap praktikal, jika kita mahu sebuah negara yang bersatu padu maka kita mesti mempunyai parti-parti yang berbilang kaum."

(Utusan online-politik).Posted by abnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com.at 10.07 am on November 20,2013.(Utusan on line-politik).Posteed by abnmulya /Bakar Ninggal.blogspot.com.at 1-.12 am on November 20,2013.

No comments: