Friday, November 22, 2013

Sperma: Keputusan batal saman warga Bosnia 31 Dis


Chung Shun Yee, Ervin Ahbabovic
KUALA LUMPUR 22 Nov. - Mahkamah Sesyen Sivil di sini hari ini menetapkan 31 Disember ini keputusan permohonan seorang wanita untuk membatalkan saman bekas kekasihnya warga Bosnia berhubung dakwaan mempergunakan sperma lelaki itu untuk mendapatkan anak daripada genetik orang Eropah yang dikatakan berkualiti tinggi.

Hakim Timothy Finlyson Joel memutuskan demikian setelah mendengar hujahan peguam James Ee Kah Fuk yang mewakili Chung Shun Yee, 29, dan peguam Nasir Yusof yang mewakili lelaki Bosnia itu, Ervin Ahbabovic, 41, selama lebih dua jam di kamar hakim petang ini.

James yang ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, pihaknya memfailkan permohonan membatalkan saman itu kerana kes terlibat tidak mempunyai sebab tindakan dan tiada kes undang-undang.

Walau bagaimanapun Nasir berkata, kes yang sama telah wujud di negara Komanwel seperti Kanada pada tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, Shun Yee dan Ahbabovic tidak hadir di mahkamah. Pada 3 September lalu, Ahbabovic mengemukakan saman untuk menuntut ganti rugi RM600,000 terhadap Shun Yee yang didakwa telah mempergunakannya untuk mendapat sperma bagi memperoleh anak daripada genetik yang lebih baik dan cantik.

Ahbabovic selaku plaintif mendakwa, Shun Yee beranggapan genetik orang Eropah mempunyai kualiti yang tiada tandingan berbanding hasil daripada benih warga tempatan.

Lelaki itu juga mendakwa, keinginan seksualiti teman wanitanya melangkaui kadar biasa malah sering ingin melakukan seks enam kali sehari yang mana setiap sesi mencapai tempoh sejam.

Warga Bosnia itu mendakwa telah menjalinkan hubungan dengan wanita terbabit sejak 2008 dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun namun dia kemudian dihalau oleh Shun Yee dari rumah. 

Dakwanya, bekas kekasihnya itu turut menafikan hak untuk mendapatkan wang simpanan mereka yang disimpan oleh wanita itu.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi RM600,000 bagi penggunaan sperma secara salah, selain memohon disahkan dan didaftarkan sebagai bapa dalam sijil kelahiran anak serta memohon diperakui dan dihargai kewujudannya selaku bapa kepada anak melalui penyiaran iklan di tiga surat khabar arus perdana berlainan bahasa.

Namun pada 1 Oktober lalu, Shun Yee dalam pernyataan pembelaannya mendakwa, dia telah diugut bunuh beberapa kali sekiranya tidak mengikut arahan plaintif selain lelaki itu turut mengugut membunuh anggota keluarganya.

Dia mendakwa berasa tertekan dengan tindakan lelaki itu yang sering meminta wang untuk kegunaan peribadinya kerana tidak mempunyai pekerjaan.

Shun Yee mendakwa, Ahbabovic mempunyai beberapa rekod jenayah lampau di mahkamah antaranya memandu dalam keadaan mabuk, kesalahan cabul dan kes perceraian dengan bekas isterinya.

Menurutnya, dakwaan Ahbabovic terhadapnya mengenai pengunaan spermanya adalah dakwaan yang sangat tidak bermoral, menyalahi undang-undang dan bertentangan dengan polisi awam. (Utusan online-Mahkjamah).Posted by aabnmulya / Bakar Ninggal.blogspot.com. at 10.07 am on November 23,2013.

No comments: